Paulus (depan, enam kiri) menyerahkan geran kerajaan kepada Samsul untuk kegunaan PIBG SMK Limbang.

LIMBANG: Masih banyak sekolah rendah di kawasan Batu Danau dalam keadaan daif yang memerlukan kerja pembaikan selain pembinaan bangunan baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, sebahagian daripada RM1.5 bilion yang diagihkan kerajaan melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA turut memberi peruntukan untuk pembaikan sekolah daif di kawasannya.

“Kawasan Batu Danau juga tidak ketinggalan mempunyai sekolah yang keadaanya amat daif, bagaimanapun saya berterima kasih kepada kerajaan negeri.

“Di bawah NRDA yang dipengerusikan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sudah bersetuju sebahagian peruntukan RM1.5 bilion itu adalah dikhaskan untuk pembaikan sekolah daif, termasuk di kawasan Batu Danau,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis Reunion SMK Limbang kelas pada tahun 1966/ 1968 di sekolah itu, hari ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Limbang Samsul Bohari.

Paulus berkata lagi, kerja-kerja pembaikan sekolah daif sedang berjalan mengikut keperluan sekolah tertentu.

“Kalau mereka memerlukan bilik darjah baharu, kita buat bilik darjah baharu, kalau perlukan kuarters guru kita tambah kuarters guru.

“Kerja pembaikan ini sedang berjalan dan sebahagiannya sudah siap dilaksanakan, walaupun kita masih memerlukan peruntukan kerajaan persekutuan yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap pendidikan dan sekolah,”ujarnya.

Paulus turut berharap Bajet 2023 persekutuan yang akan dibentang di Parlimen nanti, sejumlah peruntukan yang besar turut disediakan untuk mengatasi isu sekolah daif ini.

“Ini kerana masih banyak lagi keperluan untuk pembaikan sekolah termasuk bangunan  sekolah baharu,” katanya.

Terdahulu katanya, Reunion SMK Limbang kelas pada tahun 1966/ 1968 dapat menghimpunkan bekas-bekas pelajar termasuk dari Singapura dan Sarawak.

“Ada bekas pelajar dari Singapura, sanggup datang ke Limbang demi mengimbas kembali persahabatan semasa belajar di SMK Limbang.

“Kebanyakan mereka adalah bekas guru,”ujarnya.

Menurutnya, mengadakan majlis reunion itu timbul daripada idea bekas pelajar yang menubuhkan kumpulan WhatsApp dari bekas pelajar kelas 1966/ 1968.

Pada majlis itu, Paulus turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Limbang.