Jet pejuang China dilihat terbang melintasi Pulau Pingtan, salah satu titik terdekat tanah besar itu dari Taiwan di wilayah Fujian semalam. — Gambar AFP

TAIPEI: China menghantar 22 jet pejuang melintasi “garisan median” yang menyusuri Selat Taiwan kelmarin, kata kementerian pertahanan Taipei dalam taklimat terbarunya mengenai latihan ketenteraan berskala besar yang dijalankan oleh tentera Beijing. 

Kementerian Pertahanan Negara berkata “sistem peluru berpandu pertahanan udara” telah dikerahkan untuk mengesan jet dan amaran radio telah disiarkan, menurut kemas kini di laman sesawangnya.

Garis tengah ini secara tidak rasminya dianggap sebagai sempadan sepanjang Selat Taiwan, yang memisahkan Taiwan dan China.

Jarang-jarang sekali jet tentera melintasinya.

Sejak dua tahun lalu, Beijing semakin kerap melancarkan pencerobohan tentera ke dalam zon pengenalan pertahanan udara Taiwan (ADIZ).

Sebilangan besar penerbangan ADIZ China berlaku di pinggir barat daya Taiwan.

Namun ada peningkatan besar dalam pencerobohan barisan tengah selepas Beijing mengumumkan latihan ketenteraan yang besar untuk membantah lawatan oleh Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke negeri pulau ini.

Daripada 49 pencerobohan yang dilaporkan Taiwan pada Rabu dan Khamis, 44 melibatkan jet pejuang China yang melintasi garisan tengah.

Sehingga sekarang, pencerobohan ke atas ADIZ Taiwan juga agak jarang-jarang berlaku.

Namun ini mula berubah sekitar dua tahun lalu, menyaksikan Beijing meletakkan tekanan ketenteraan yang lebih besar ke atas Taiwan, yang dianggap China sebagai wilayahnya dan telah berikrar untuk menguasainya suatu hari kelak.

Tahun lepas, Taiwan merekodkan 969 pencerobohan oleh jet pejuang China ke dalam ADIZ, dan menurut data, ini dua kali ganda lebih banyak berbanding sekitar 380 pada 2020.

Angka pesawat terbanyak yang dihantar oleh China dalam satu hari ialah 56, pada 4 Oktober 2021.

Sebelum latihan ketenteraan minggu ini, Taiwan melaporkan 626 pencerobohan, peningkatan hampir 70 peratus berbanding tahun lalu. 

Serangan kerap ini telah meletakkan angkatan tentera udara Taiwan di bawah tekanan besar, dan ia telah mengalami rentetan kemalangan maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini. — AFP