(Dari kiri) Mohamad Abu Bakar, Mohd Zuki, Fadillah dan Ibrahim bergambar dengan bendera Malaysia sebelum melepaskan peserta kayuhan berbasikal di Padang Merdeka, pagi tadi.

KUCHING: Seramai 150 peserta menyertai program berbasikal 'Civil Servants Fun Ride' sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) 2022 bermula di Padang Merdeka di sini, pagi tadi.

Program anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) itu menyaksikan penglibatan peserta dari kedua-dua pejabat setiausaha persekutuan dan negeri.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Amar Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Hadir sama memeriahkan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki.

“Objektif program adalah untuk menyatupadukan penjawat awam di negeri ini serta mengeratkan silaturahim sesama mereka bersama-sama ketua jabatan,” kata Nazrie Abdullah daripada urus setia penganjur program berkenaan.

Nazrie berkata, program itu melibatkan kayuhan sejauh kira-kira 8.6 kilometer dengan dua ‘pit stop’ iaitu berhampiran Kompleks Sukan Satok dan Tebingan Kuching.

Pada masa sama, para peserta turut mengambil kesempatan menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan bakul makanan kepada pengusaha perahu tambang serta golongan asnaf.