Umi diiringi polis di luar mahkamah.

KUCHING: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM22,908.50 pada 2018.

Umi Atika Abdul Rahman, 30, yang hadir di hadapan Hakim Jason Juga, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, dan dengan sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membebaskannya dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 5 September untuk sebut semula kes.

Mengikut pertuduhan, bekas pembantu akaun sebuah syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut yang membabitkan jumlah RM19,940 pada Julai 2018 dan RM2,968.50 pada September 2018.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di syarikat yang terletak di Jalan Sultan Tengah di sini antara jam 8 pagi hingga 5 petang.

Berdasarkan fakta kes, pengurus syarikat tersebut membuat laporan polis selepas Umi, yang bertanggungjawab mengendalikan kewangan syarikat, didakwa mengambil hasil jualan tanpa pengetahuannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.