KUALA LUMPUR: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) telah  meluluskan sejumlah RM50.313 bilion permohonan jaminan pembiayaan oleh institusi kewangan yang melibatkan sebanyak 69,293 akaun bagi tempoh 2009 sehingga Februari 2022.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, sebanyak 84.7 peratus atau RM42.628 bilion daripada pembiayaan itu disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh institusi kewangan manakala jumlah jaminan SJPP sebanyak RM31.846 bilion.

"Setakat Mei 2022, SJPP telah diperuntukkan had pembiayaan RM81 bilion untuk menguruskan 11 skim jaminan Kerajaan untuk PKS sejak 2009 dengan lapan skim jaminan masih aktif manakala tiga skim telah ditutup.

"Jumlah keseluruhan agihan dana kepada PKS melalui institusi kewangan ialah RM79.500 bilion," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, bagi tempoh 2009 hingga bulan Februari 2022, tuntutan bersih jaminan pembiayaan daripada institusi kewangan adalah berjumlah RM587.02 juta (1.4 peratus) berbanding RM42.628 bilion pembiayaan kepada PKS.

Laporan itu juga menyifatkan secara keseluruhannya SJPP telah mencapai objektif penubuhannya melalui pencapaian output iaitu sasaran jumlah pembiayaan diluluskan dan tuntutan jaminan dibayar.

"Pencapaian keberhasilan menunjukkan impak positif skim jaminan Kerajaan melalui SJPP iaitu sumbangan syarikat PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar 38.9 peratus (2019) dan 38.2 peratus (2020).

"Peningkatan hasil kutipan yuran skim jaminan pembiayaan menyumbang kepada kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dan membolehkan pembayaran dividen kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) serta mempunyai lebihan dana untuk disalurkan bagi keperluan tuntutan jaminan," kata laporan itu.

Menurutnya, bagaimanapun, pengurusan aktiviti jaminan pembiayaan dari segi tempoh memproses permohonan dan tuntutan mengalami kelewatan akibat pandemik COVID-19 selain kesilapan pengiraan yuran jaminan yang menyebabkan terlebih/terkurang kutipan.

“Bagi meningkatkan lagi pencapaian objektif penubuhan SJPP, pihak pengurusan Prokhas Sdn Bhd, MKD dan Lembaga Pengarah SJPP perlu mengambil langkah yang proaktif dan berkesan bagi menangani kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan ini.

"Pihak terlibat perlu memberi pertimbangan dengan memanfaatkan lebihan dana daripada syarikat bagi menampung keperluan tuntutan skim jaminan pada masa akan datang dan memastikan semakan dan pengesahan yuran jaminan yang teliti bagi mengelak risiko berlakunya kesilapan,” katanya.

Laporan itu juga menyarankan supaya pihak terbabit menambah baik tadbir urus korporat berkaitan kadar pembayaran elaun mesyuarat Lembaga Pengarah dan penglibatan Lembaga Pengarah dalam perancangan strategik SJPP. - BERNAMA