Anggota bomba melakukan pemantauan paras air banjir yang melanda kawasan Rumah Ayai Sawing.

MIRI: Rumah Ayai Sawing di Saeh Merah, Niah, dekat sini dilaporkan dilanda banjir setinggi satu hingga dua kaki pada Jumaat. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah Rary Binji berkata sepasukan tiga anggotanya ditugaskan menjalankan pemantauan di lokasi terlibat banjir sekitar jam 2.20 petang.

“Lokasi rondaan adalah kawasan Saeh Merah iaitu di Rumah Ayai Sawing, Rumah Linan Jalak, Rumah Empat Bakar dan Rumah Limbang Kaiyan. 

“Jalan masuk ke Saeh Merah dan Saeh Putih ditenggelami air sedalam lebih kurang satu hingga dua kaki dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda (4WD). “Tinjauan mendapati Rumah Ayai Sawing ditenggelami air sedalam lebih kurang satu hingga dua kaki,” katanya ketika dihubungi di sini. 

Rary memberitahu tiga lagi rumah panjang iaitu Rumah Linan Jalak, Rumah Empat Bakar dan Rumah Limbang Kaiyan didapati tidak terjejas dengan kejadian banjir. 

“Ada beberapa jalan dinaiki air dan trend air banjir didapati menaik serta cuaca juga hujan semasa pemantauan. 

“Turut bersama anggota bomba di lokasi ialah lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga kakitangan Pejabat Daerah Subis,” ujarnya.