KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$109.2 bilion setakat 29 Julai, 2022 daripada AS$107 bilion dicatatkan pada 15 Julai, 2022.

“Kedudukan rizab itu adalah memadai bagi membiayai 5.8 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$97.2 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).

Aset itu merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM480.77 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.61 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset lain (RM29 bilion).

Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM168.57 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.55 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM161.52 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM10.88 bilion), deposit lain (RM11.98 bilion), kertas Bank Negara (RM6.92 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.48 bilion). - BERNAMA