BANDAR MEXICO: Pasukan penyelamat kelmarin bergegas untuk menyelamatkan sembilan pekerja yang dipercayai terperangkap di dalam sebuah lombong arang di utara Mexico, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador. 

Anggota tentera dan anjing pengesan telah dikerahkan ke tempat malapetaka di negeri Coahuila.

"Sebuah lombong arang di bandar Sabinas, Coahuila telah runtuh, yang mengakibatkan banjir di sebuah terowong dan nampaknya telah memerangkap sembilan pelombong," tulisnya di Twitter.

"Kami berharap untuk menemui mereka dalam keadaan selamat," tambahnya.

Anggota keluarga menangis ketika menunggu berita daripada operasi menyelamatkan sekumpulan pelombong yang terperangkap di kawasan Agujita, negeri Coahuila, Mexico kelmarin. - Gambar AFP

Gambar di televisyen menunjukkan keluarga mangsa yang gelisah berkumpul di lombong tersebut, menanti berita, ada yang menangis.

Coahuila, kawasan pengeluar arang utama negara, telah menyaksikan peningkatan dalam kemalangan maut perlombongan beberapa tahun kebelakangan ini.

Malapetaka yang paling tragis ialah satu letupan yang mengorbankan 65 nyawa di lombong Pasta de Conchos pada 2006.

Tahun lalu, tujuh pelombong maut selepas mereka terperangkap di dalam satu lagi kemalangan di Coahuila. - AFP