KUCHING: Padah menggunakan kad pengenalan palsu, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau denda penjara lima bulan sekiranya tidak bayar denda oleh Mahkamah Majistret Sri Aman, hari ini.

Majistret Muhamad Yasser Mohd Nasri telah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang dikenali sebagai Juli Iskandar (pengakuan lisan) berusia 28 tahun yang berasal dari Kampung Rasau Ketungau Ulu Kabupaten Sintang Kachamatan Senaning Indonesia.

Selain itu, tertuduh hendaklah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia setelah selesai menjalani hukuman penjara untuk tujuan penghantaran balik ke negara asal. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan milik orang lain atas nama Victor Gregory Anak Nicholas.

Pendakwaan telah dijalankan di Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini, mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pada 3 Ogos, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sarawak telah menahan seorang suspek lelaki selepas selesai mendapatkan rawatan  di Hospital Sri Aman.

Penahanan itu susulan atas maklumat yang diperolehi daripada Hospital Sri Aman berhubung seorang pesakit yang memiliki dan menggunakan kad pengenalan yang diragui bukan kepunyaannya.

Pengawai Penyiasat JPN Sarawak ialah Mohd Khairil Haidir Nazwan Mohd. Khir dan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jeremy Eric, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.