KUCHING: Seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine berjumlah kira-kira 8.8 kilogram (kg) dan 9.6kg ketamin pada Februari.

Spancer Senna Edwin Duwin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di hadapan Hakim Dr Alwi Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 4,164.1 gram Methamphetamine di laluan lima kaki di Lee Ling Heights sekitar 1.30 tengah hari pada 26 Februari.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar 4,190 gram Methamphetamine di sebuah pejabat kurier berhampiran Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce sekitar jam 2 petang hari yang sama.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, dia mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lanjut mengedar Methamphetamine dan ketamin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai.

Mengikut pertuduhan, Spancer didakwa mengedar 9,668.3 gram ketamin dan 454.4 gram Methamphetamine di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang di sini sekitar jam 3 petang, juga pada 26 Februari lepas.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 September untuk memantau status permohonan penyatuan bagi kes-kes dan memerintahkan Spancer ditahan reman selanjutnya.

Kedua-dua kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Musli Ab Hamid, manakala Spancer diwakili peguam Gerald Empaling Donald dan Steven Beti.