REYKJAVIK: Sebuah gunung berapi di Iceland meletus berhampiran ibu kota Reykjavik kelmarin, kata Pejabat Meteorologi Iceland (IMO) dengan gambar langsung di media tempatan menunjukkan lava dimuntahkan dari celahan tanah.

Letusan itu berlaku kira-kira 40 kilometer dari Reykjavik, berhampiran tapak gunung berapi Gunung Fagradalsfjall yang meletus selama enam bulan pada Mac-September 2021, memukau pelancong dan penonton yang berpusu-pusu ke tempat kejadian.

Kali ini, limpahan lava merah membara dapat dilihat mengalir dari tanah, menuruni menjadi selimut batuan hitam yang membara tatkala ia sejuk, diselubungi asap biru yang naik dari landskap berbukit di semenanjung Reykjanes.

"Letusan telah bermula berhampiran Fagradalsfjall. Lokasi tepat masih belum disahkan," tulis IMO, pemantau aktiviti seismik, di Twitter.

Saiz rekahan dianggarkan pada sekitar 300 meter.

Letusan itu bermula di lembah Meradalir, kurang satu kilometer dari tempat kejadian letusan tahun lepas.

Letusan kelmarin berlaku selepas tempoh aktiviti seismik yang aktif, dengan kira-kira 10,000 gempa bumi dikesan sejak Sabtu, termasuk dua yang bermagnitud sekurang-kurangnya 5.0.

Gas daripada letusan gunung berapi - terutama sulfur dioksida - dapat dikesan di daerah terdekat, dan boleh mengancam kesihatan dan bahkan boleh membawa maut.

Gambar fail diambil pada 18 Mei lepas menunjukkan gunung berapi di Iceland meletus berhampiran ibu kota Reykjavik. - Gambar AFP

Pencemaran gas juga boleh dibawa oleh angin.

"Risiko ke atas kawasan padat dan infrastruktur penting adalah pada kadar sangat rendah dan tidak ada gangguan terhadap penerbangan," kata kementerian luar Iceland di Twitter.

Lebih sejam selepas letusan, sebuah jet penumpang komersial dapat dilihat terbang di atas lokasi letusan pada ketinggian rendah menuju ke bandar utama Reykjavik, Keflavik.

Gunung Fagradalsfjall tergolong dalam sistem gunung berapi Krysuvik di semenanjung Reykjanes, barat daya Iceland.

Iceland mempunyai 32 sistem gunung berapi yang aktif kini, jumlah terbanyak di Eropah. Secara purata, negara ini mengalami letusan setiap lima tahun.

Bagaimanapun, letusan Gunung Fagradalsfjall tahun lepas adalah yang pertama di semenanjung Reykjanes yang belum menyaksikan letusan sejak abad ke-13, apabila gunung berapi meletus selama 30 tahun dari 1210 hingga 1240.

Selepas letusan tahun lepas, ahli geofizik berkata ini menandakan permulaan tempoh letusan baharu yang boleh berkekalan selama beberapa abad. - AFP