BOGOTA: Perdana Menteri Peru Anibal Torres meletak jawatan pada Rabu, memberi laluan kepada rombakan Kabinet di saat kerajaan berdepan krisis terburuk. 

Torres berkata beliau meletakkan jawatan atas "sebab peribadi."

“Saya meletak jawatan selepas berkhidmat kepada tanah air dan rakyat,” kata Torres dalam surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Presiden Pedro Castillo, lapor Agensi Anadolu.

Torres, merupakan pegawai paling setia Castillo, dan dilantik sebagai Perdana Menteri Peru pada awal Februari selepas berkhidmat sebagai menteri kehakiman.

Beliau adalah perdana menteri keempat sejak Castillo menerajui negara pada Julai tahun lalu.

Torres melepaskan jawatannya ketika tinjauan populariti presiden merudum ke paras terendah dan kerajaan menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan.

Castillo telah melalui dua prosiding pemecatan tetapi gagal menggulingkan pentadbirannya dan beliau telah membuat lebih 50 perubahan dalam Kabinetnya.

Kini, Castillo berdepan lima siasatan jenayah, dua daripadanya mengenai dakwaan sama ada beliau mempunyai kaitan dengan "organisasi jenayah."

Beliau menerima tekanan dari Kongres pimpinan pembangkang sejak setahun lalu, yang memintnya meletak jawatan atau mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya awal.

Castillo dilantik sebagai Presiden pada Julai 2021 selepas menewaskan calon sayap kanan Keiko Fujimori dengan kelebihan 44,000 undi, tetapi popularitinya merudum kerana terpalit dengan skandal rasuah.

Negara Amerika Selatan itu mempunyai lima presiden sejak 2016. - BERNAMA