MIRI: Seorang lelaki didenda RM900 atau tiga hari penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan menjalankan suatu perniagaan tanpa lesen.    Law Kiiung King, 41, dari Holiday Park di sini didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Perniagaan, Profesion dan Perlesenan Perdagangan 1958.    Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM1,000, jika sabit kesalahan.    Menurut keterangan kes, sekitar jam 2.40 petang, 30 Julai lalu di sebuah lot di Taman Delight di sini, polis telah menahan seorang lelaki untuk tujuan pemeriksaan.    Semasa pemeriksaan dilakukan, polis mendapati telefon pintar milik tertuduh ada memaparkan aplikasi judi dalam talian.    Hasil siasatan lanjut yang dilakukan polis, tertuduh mengaku memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi aplikasi judi dalam talian dan semasa ditangkap, dia sedang menjalankan kegiatan yang tidak sah serta tidak dibenarkan di Sarawak.    Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.    Tambahan dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak dalam tanggungan.    Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.