Talat menjawab soalan pemberita selepas Prosiding Rujukan untuk Hakim Mahkamah atasan dari Sarawak yang telah meninggal dunia di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak masih melihat langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti di negeri ini.

Peguam Besar Negeri Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu belum dibuat setakat ini. 

“Saya telah melihat perkara ini namun sebarang keputusan belum dibuat. 

“Ia terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan (sama ada Sarawak akan membentangkannya di Dewan Undangan Negeri),” ujar beliau kepada pemberita selepas menghadiri Prosiding Rujukan (Reference Proceding) untuk Hakim Mahkamah atasan dari Sarawak yang telah meninggal dunia di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi Sarawak susulan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 28 Julai.

Terdahulu pada 30 Julai, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Peguam Besar Negeri Sarawak perlu mengkaji langkah seterusnya yang harus diambil bagi pelaksanaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ADUN bertukar parti di negeri ini.

Beliau berkata, Sarawak sememangnya sudah mempunyai peruntukan mengenai larangan melompat parti dalam Perlembagaan negeri.

Bagaimanapun katanya, peruntukan tersebut tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan persekutuan.