SIBU: Sembilan anggota polis yang disiasat atas kes peras ugut di Gombak, Selangor perlu digantung tugas serta-merta dan tidak boleh dibenarkan bertugas di mana-mana negeri di Malaysia.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang berkata, Sarawak mengalu-alukan keputusan untuk memindahkan lebih ramai anggota polis ke Sarawak untuk bertugas, bagaimanapun pemindahan pegawai yang bermasalah ini ke sini sama sekali tidak boleh diterima.

“Hentikan memilih Sarawak sebagai medan baharu bagi anggota polis yang bermasalah dengan memindahkan mereka ke sini sementara menunggu hasil siasatan.

"Kenapa Sarawak? Malah anggota polis yang sedang disiasat harus digantung tugas serta-merta untuk siasatan lanjut tanpa memindahkan mereka ke mana-mana negeri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, Sarawak berhak menerima anggota dan pegawai polis yang lebih baik daripada menerima mereka yang bermasalah.

"Sarawak memang memerlukan lebih ramai anggota polis untuk ditempatkan di sini bagi pencegahan jenayah tetapi anda tidak boleh memberi kami mana-mana anggota dan pegawai polis yang masih dalam siasatan jenayah untuk ditempatkan di sini bagi menambah bilangan,” kata Tiang.