Persembahan Alfred Ayai penuh bertenaga semasa Konsert 'Queen Tribute, I Want To Break Free! di BCCK malam tadi. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Konsert 'Queen Tribute, I Want To Break Free! yang diadakan pada malam Sabtu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Pengarah Urusan Front Row Asia, Ameerah Alsree, konsert itu bukan sahaja mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan, malah individu dari luar negara khasnya Indonesia dan Singapura.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa lapan hingga sembilan minggu bagi mengurus konsert berkenaan serta memdapat sokongan daripada rakan kongsi dan juga kementerian.

"Ia merupakan salah satu aktiviti dalam usaha untuk membangunkan semula industri dan komuniti pemuzik khasnya di negeri ini.

"Justeru, terima kasih kepada rakan kongsi yang turut sama memberi tunjuk ajar dan membantu dalam menjayakan konsert ini," katanya ketika ditemui media sebelum konsert 'Queen Tribute, I Want To Break Free! itu bermula, di BCCK malam Sabtu.

Turut hadir menyaksikan konsert itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Persembahan Alfred Ayai penuh bertenaga semasa Konsert 'Queen Tribute, I Want To Break Free! di BCCK malam tadi. - Gambar oleh Chimon Upon

Sementara itu, persembahan bertenaga yang dipamerkan oleh artis semasa konsert itu mendapat sorakan penonton yang hadir di BCCK.

Konsert berkenaan mempersembahkan rock antarabangsa, Queen oleh Alfred Ayai bersama pemain gitar terulung di Asia, Alif Putra dan pemain muzik handalan, Killer Queen Band.

Konsert tersebut juga menampilkan beberapa artis tempatan seperti bekas Ratu Cantik Malaysia, Dewi Seriestha serta pemain lagenda sape, Mathew Ngau dan Michael King.

Dalam pada itu, lagenda sape Mathew ketika ditemui berkata bahawa muzik tradisional yang dimainkan menerusi sape kini boleh dimainkan bersama muzik moden.

"Ini sekali gus dapat membuka mata kepada masyarakat bahawa alat muzik tradisional ini mempu bergerak ke hadapan di mana ia boleh dimainkan bersama muzik moden," jelasnya.

Selain itu, artis tempatan Dewi Seriestha turut meluahkan rasa gembira kerana konsert berkenaan menampilkan persembahan sulung bersama Queen.

"Ini merupakan hasil titik peluh pihak pengurusan acara yang bertungkus-lumus untuk mengadakan konsert antarabangsa seperti ini selain ia berbaloi untuk disaksikan oleh setiap lapisan masyarakat," ujarnya.

Dalam masa yang sama, pemain gitar Aliff Putra berkata, konsert ini merupakan salah satu sumbangan dalam arena antarabangsa di mana sebelum ini ia tidak dapat dilaksanakan.

"Ketika dilanda COVID-19, banyak perkarq yang tidak boleh dilakukan dan susah untuk kita keluar dan berhibur.

"Justeru, ini merupakan masa yanh dinantikan apabila semua sempadan sudah mula dibuka dan ia merupakan sesuatu yang dinantikan oleh orang ramai khasnya kepada pencinta muzik," katanya.