Oleh Roslan Jomel

TIDAK jauh dari stesen monorel Maharajalela yang kerap dinaiki untuk ke NU Sentral, masih utuh sebuah bukit dan hutan kecil. Setahun dari sekarang, waktu aku memasuki kawasan yang dihuni komuniti monyet itu, kelak ia diratakan secara maksimum untuk prospek pembangunan. Barangkali didirikan apartmen mewah, kondominium atau hotel. Namun di situlah, lewat petang hari Sabtu, aku menggali lubang separas leher dengan lebar seluas bilik tidur bujang. Dalam sepuluh beg plastik hitam sampah, terkumpul di dalamnya, 156 ekor kucing (masih bernyawa) untuk dikuburkan. Anggap sahaja aku sudah gila.     Seminggu sebelum wabak COVID-19 mencemaskan penghuni dunia, kami terbang ke Sarawak. 4 hari. Isteri aku ada program kebahasaan dengan para pelajar bukan Melayu di sekolah vernakular. Aku pula mengambil kesempatan untuk urusan artistik.  Aku bersahabat dengan orang-orang marginal di tengah bandar raya Kuching. Seperti dijangka, acara isteri aku dibatalkan atas sebab kebimbangan para ibu bapa (berhubungan dengan wabak COVID-19). Kami memutuskan untuk tidak membatalkan penerbangan yang sudah ditempah. Isteri aku memilih hotel di tepi pusat membeli-belah Sarawak Plaza yang kini tinggal nyawa-nyawa ikan dalam perniagaan. Manakala aku merayau-rayau dengan kamera digital Canon. Menyusuri Satok, Tebingan Waterfront, Jalan Carpenter, Lorong Pisang, Tasik Reservoir dan India Street. Pada malam hari, kami menikmati makanan laut di Top Spot.    Melalui desas-desus media massa, wabak yang belum ditemui punca dan vaksin itu konon berpunca daripada makanan daging eksotik. Dan ada yang mula menghebahkan spekulasi liar tentang wujudnya konspirasi menjahanamkan ekonomi negara-negara tertentu. Orang ramai tetap menjalani rutin kehidupan seperti sedia kala. Berkumpul di restoran. Perlawanan bola sepak EPL tetap mengikut jadual. Ahli politik saling bertikai di media sosial. Sedangkan agamawan di Youtube mengatakan dunia hampir kiamat dan menuduh musibah itu disebabkan Wahabi. Dalam fikiran masyarakat awam, wabak itu akan lenyap dalam masa yang singkat sebagaimana wabak-wabak penyakit (SARS, H1N1, contohnya). Maka, tiada jembalang yang perlu ditakuti di luar rumah. Namun, tiada sesiapa yang menjangka, virus misteri itu lebih ajaib daripada Tsunami dan MH370. Pembelian panik barangan keperluan di pasar raya jelas membayangkan betapa ngerinya ancaman COVID-19 ke atas manusia.         Dalam pesawat menuju ke Kuching, sambil bercakap di sebalik pelitup separuh muka yang dibeli dari kedai serbaneka (harganya dinaikkan) di terminal sebelum berangkat, isteri aku menceritakan dua ekor kucing peliharaannya kelihatan murung. Oren dan Panda. Dua ekor kucing itu menampakkan perubahan ketara. Tubuh mula menyusut dan tidak menjamah makanan (dipesan daripada Lazada) yang dihidangkan. Sebaik sahaja balik semula ke Semenanjung, Oren ditemui menyorok di balik baldi dalam bilik air, sementara Panda bersembunyi di bawah katil. Kedua-dua ekor kucing itu dihantar ke klinik di Bangsar dan kemudian dipindahkan ke hospital haiwan di Petaling Jaya. Ditahan sekurang-kurangnya tiga hari untuk rawatan intensif. Maka selama itulah, isteri aku berjaga sepanjang malam. Dia mengejutkan aku yang sedang tidur lena. Bagaimanakah andai Oren dan Panda mati?      Pada hari pertama Oren dan Panda ditinggalkan di hospital satu panggilan masuk ke telefon bimbit isteri aku. Ketika itu isteri aku sedang menyediakan makanan malam. Isteri aku, sambil mengunyah coklat Cadbury, menatap skrin telefon bimbitnya. Sejak memakai cermin mata, kerana pandangan rabun dekatnya kian teruk, wajahnya persis pelajar sekolah menengah (pujian domestik) dengan rambut diwarnakan keperang-perangan. Nombor tertera dari hospital haiwan. Dia berharap agar kedua-dua pujaan hatinya itu dibenarkan balik pada hari itu juga. Atau sekurang-kurangnya Oren dan Panda tidaklah berada pada tahap membimbangkan. Impiannya serapuh kulit telur. Dalam hati aku kecil aku, berita buruk akan disampaikan.    “Kedua-duanya meninggal dunia. Minta maaf.” Demikian kata doktor melalui telefon. “Meninggal dunia?” Sungguh sopan bunyinya. Segala yang ditakuti, telah terjadi. Hujan turun deras pada siang yang cerah itu (kiasan). Aku tahu drama yang bakal terjadi. Hampir sebelas tahun hidup dengan isteri yang lintasan perasaannya mudah diterka. Aku siap-siap mengukuhkan kestabilan diri. Sedangkan menonton telemovie Korea Selatan di televisyen pun hatinya mudah diremukkan. Dia hidup antara khayalan romantik yang tidak pernah aku tuliskan dalam mana-mana prosa. Inikan pula apa yang sedang ditanggungnya kini. Oren dan Panda tidak lagi mengiau dalam rumah. Rasa kehilangan ini pasti menyentak. Lebih menyakitkan daripada terlepas hari jualan murah beg tangan berjenama di pusat membeli-belah Sogo.     Isteri aku mendadak teresak-esak di atas sofa. Lagaknya seperti anak kecil. Menyandar dan melepaskan telefon bimbit di sebelah pahanya selepas mengucapkan terima kasih. Dia menghampiri aku yang dari tadi duduk menghadap komputer riba di meja tulis ruang tamu depan tingkap. Dia perlukan simpati seseorang untuk berkongsi perkhabaran memilukan itu dan mengulangi apa yang sudah diceritakan oleh doktor veterinar berbangsa Cina. Dan dengan suara tersekat-sekat, mengawal tangisan dan runtunan emosi, dia menceritakan, “Sebelum balik, aku sempat mengusap kepala dua ekor kucing tu. Oren dan Panda. Kedua-duanya tampak seperti sihat dan paling menghibakan..., sinaran kegembiraan dari mata Oren memandang kepadaku dari atas meja kaunter doktor.” Isteri aku menambah, sebaik sahaja dia memanggil nama dua ekor kucing itu, Oren dan Panda menegakkan ekor, bahkan mengiau seperti biasa apabila nama masing-masing dipanggil di dalam rumah kami.        Dua ekor kucing itu dibawa balik ke rumah bersama-sama dengan dua buah sangkar yang sudah tidak berpenghuni. Sudah tentulah aku yang disuruh menguburkan Oren dan Panda. Di manakah tempatnya hendak menggali lubang dan menimbus dua ekor kucing mati di tengah bandar raya Kuala Lumpur? Mungkin aku perlu memasuki hutan? Ada lagikah hutan di Kuala Lumpur selain di Bukit Nanas? Kalau di kampung, ia tidak akan menjadi masalah. Isteri aku kini lemas dirundung kesedihannya. Selepas balik dari hospital haiwan, dia berbaring di sofa dan terus tertidur atau cuba memaksa untuk tidur. Nampaknya tugasan itu memang diserahkan kepada aku. Selama ini aku pun kadang-kadang disuruh membersihkan najis dua ekor kucing itu. Aku membalut Oren dan Panda dengan surat khabar. Lima lapisan. Memasukkannya ke dalam beg plastik. Aku mencapai sweater Nike hijau dan beg sandang Puma. Turun dari tangga rumah dan segera menempah Grab untuk ke Selayang Utama.       Sebaik sahaja sampai di rumah, isteri aku dengan mata bengkaknya sedang duduk di sofa. Segelas kopi digenggam tangan kanannya. Aku berbohong dengan mengatakan Oren dan Panda sudah dikuburkan. Sebaliknya aku mencampakkan bungkusan mayat kucing-kucing itu di tempat pembuangan sampah belakang pasar raya Mydin. Dengan penampilan kusut-masai dan mula menangis lagi, aku tahu, dia hendak menceritakan lagi tentang Oren dan Panda. Lautan kesedihan melimpah dan melitup seluruh kawasan rumah kecil kami. Selepas membersihkan diri dalam bilik air, aku duduk di meja tulis. Seperti diduga, isteri aku mengungkit kematian Oren dan Panda, seolah-olah aku yang hidup di depannya tidak bererti sama sekali. Aku segera meraih buku Noam Chomsky, Pirates and Emperors, buat-buat tidak mendengar. Belum sempat aku membaca bahagian kata penghantar, isteri aku menangis lagi dan menyatakan kekesalannya kerana tidak segera menghantar Oren dan Panda ke klinik untuk rawatan. Dia berasa insiden itu tidak sepatutnya berlaku jika kami lebih cakna. Pemergian kami ke Kuching lebih menyebalkan hatinya. Kami bersuka ria di Kuching. Tetapi apa yang kami arif tentang penyakit dalaman kucing? Keadaan dua ekor kucing kesayangan itu sudah berada di ambang kematian.        Apa yang aku tahu ialah kos untuk rawatan dua ekor kucing itu hampir mencecah dua ribu ringgit. Dua ekor kucing itu gagal diselamatkan. Konon virus dalam saluran kencing dua ekor kucing itu merebak ke organ-organ lain yang entahlah apa namanya. Gangguan saluran kencing tersumbat, seperti dimaklumkan oleh isteri aku, sering menyerang kucing-kucing jantan. Oren dan Panda kucing jantan. Isteri aku pernah memiliki kucing sewaktu bekerja di Sarawak. Apabila kucing peliharaannya mati, dia mengalami trauma hampir setahun. Setiap kali menemui kucing sama ada di kawasan perumahan atau di jalanan bandar raya Kuching, dia akan terbenam dalam memori sedih. Tertekan kerana berasa tidak bertanggung jawab. Dan hal itulah membimbangkan aku dan telah berlaku sekarang. Dia masih berilusi bahawa Oren dan Panda belum mati bahkan tidur di dalam kotak masing-masing. 

 

    Beberapa bulan kemudian, isteri aku mengendong seekor kucing jalanan yang kemudian diberikan nama Eman. Memandikan dan membersihkan lumpur pada anak kucing berwarna oren itu. Kucing yang disangka betina itu rupa-rupanya jantan. Ditemui merayau-rayau di kawasan letak kereta di luar premis pejabatnya. Mengenang kucing yang masih kecil itu tidak beribu, isteri aku terus mengangkutnya balik ke rumah dan dibela seperti artis Hollywood. Pada seminggu sebelumnya, kawan sepejabatnya telah menghadiahkan seekor kucing betina. Wati. Gabungan jantina dua ekor kucing itu melahirkan berpuluh-puluh lagi ekor kucing dan memenuhi ruangan rumah kecil kami. Isteri aku sudah tentu kembali ceria dengan kemunculan semula kucing-kucing dalam rumah. Tidak terkira berapa jumlah sebenar kucing dalam rumah kami. Isteri aku membelanjakan bukan sedikit wang untuk makanan dan rawatan. Ada yang hidup tidak sampai setahun dan ada yang lari keluar ketika pintu rumah dibuka. Mahu tidak mahu, aku dikerah untuk mencari kembali.     Aku naik berang kerana kehadiran kucing-kucing itu. Bahkan berak dalam kasut-kasut aku dan tidur atas komputer riba sesuka hati mereka. Sungguh melampau. Aku mencadangkan isteri agar memberikan sebahagian kucing kepada sesiapa sahaja yang berminat. Isteri aku tidak sampai hati. Hal ini kerana sebahagian kucing yang dihadiahkan kepada kawan-kawannya, mati akibat tidak terjaga dengan baik. Kucing di rumah beranak dan terus beranak. Pada malam-malam ketika menyemak manuskrip, fokus aku sering terganggu pada bau najis dan perkelahian kucing-kucing. Aku kehilangan sabar kerana sering tugasan yang dikirim oleh editor gagal diselesaikan seperti kebiasaan. Tetapi isteri aku membela kesemua kelakuan kucingnya. Malahan dia menganggap aku ego, keras, tidak berhati perut dan hanya mementingkan pencapaian intelektual sehingga langit ketujuh.    Akhirnya pandemik COVID-19 diumumkan di peringkat global. Namun isteri aku berulang-alik ke klinik ketika perintah PKP dikuatkuasakan. Seekor demi seekor kucing peliharaan kami mengalami masalah saluran kencing. Bahkan kanser, batu karang, jantung dan entahlah apa lagi nama-nama penyakit yang kompleks ditanggung kucing-kucing. Aku langsung tidak mengenali nama-nama kucing apatah lagi untuk membezakan yang mana jantan dan betina dalam rumah. Ia bukan hal aku. Demikianlah sepanjang perintah penjarakan sosial, kucing dan rumah kami mengalami perubahan yang mengejutkan. Kesemuanya seperti dalam keadaan murung, susut, tidak berselera makan dan tidak lagi cergas berlari ke serata sudut rumah untuk menyakitkan hati aku. Duit simpanan isteri aku sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos rawatan. Sedangkan kami perlu untuk mengawal perbelanjaan membeli barang-barang keperluan asas memandangkan tiada jaminan daripada pihak kerajaan memastikan wabak COVID-19 akan berakhir.     Lubang digali kini separas kepala. Kesemua beg plastik hitam berisi mayat kucing dihumbankan ke dalam lubang. Apa benar jumlah kesemuanya hanya 156 ekor? Aku rasa lebih. Mungkin dua ratus, tiga ratus atau seribu ekor. Aku tahu kesemua kucing yang diangkut ke hutan ini masih hidup. Mengapa tidak aku biarkan sahaja di atas tanah? Biarkan mereka hidup di sini atau menjadi makanan kepada monyet-monyet yang nantinya bakal diusir oleh projek pembangunan. Mengapa perlu bersusah-payah menggali lubang kubur? Pinggang dan lengan terasa hampir patah. Aku benar-benar sudah tidak berdaya lagi. Penat dan benci kepada apa yang sedang dilakukan ini. Ini semua gara-gara kucing. Isteri aku tetap mahu membela kucing lagi dan lagi sehingga mental dan fizikal suaminya ini hancur berkecai.     Lima kali aku bagai orang kurang siuman berulang-alik dari rumah ke hutan di belakang hotel Mandarin Jalan Maharajalela ini. Aku harus berwaspada kalau-kalau ada kereta polis peronda memasuki jalan ke kawasan kediaman kami. Ditambah lagi dengan keadaan berpuasa, aku terpaksa menggali kubur untuk kucing-kucing yang lebih diberi perhatian oleh isteri aku. Dia tidak pernah mengambil tahu betapa terganggunya fokus aku sejak kucing-kucing berada dalam rumah. Waktu penulisan aku tergendala. Bakat seni yang dianugerahi Tuhan kepada aku sia-sia. Peluang aku muncul di majalah dan televisyen sebagai bintang sastera telah terbenam dalam kerak bumi. Aku akan dilupakan, terseksa dan bergentayangan di sudut dunia. Sebagaimana sastera sesungguhnya bukan subjek utama kepada masyarakat.    Betapa seksanya hidup aku di tengah bandar raya dengan isteri yang sudah tidak lagi siuman dalam rumah dan tidak lagi berwajah seperti pelajar sekolah menengah. Aku sesak nafas dengan kehidupan begini. Tinggal dalam rumah sewa kecil sementara ahli politik yang tidak pun cerdik tinggal mewah dengan duit tidak pernah habis-habis datang daripada sebelah kiri dan kanan. Apa harus aku lakukan untuk mengubah kehidupan dan alam semesta yang bercelaru ini? Kekusutan fikiran dan kegelapan jiwa telah mengirimkan idea buat aku ketika ini. Ya, mengapa tidak sahaja aku menguburkan diri bersama-sama ratusan, puluhan dan ribuan kucing di balik hutan atas bukit? Aku tidak perlu lagi berulang-alik memikul guni berisi kucing-kucing. Aku tidak perlu lagi memikirkan masalah-masalah dunia. Wang, makan, minum, kasut dan pakaian baharu, manuskrip, kemasyhuran peribadi yang diidam-idamkan pengarang.