Artis jemputan yang bakal memeriahkan Borneo Music Festival Live 2022 Kampung Budaya Sarawak pada 9 dan 10 September nanti.

KUCHING: Buat julung kalinya peminat muzik tempatan berpeluang menikmati Borneo Music Festival Live 2022 yang bakal diadakan di Kampung Budaya Sarawak pada 9 dan 10 September akan datang.

Menurut satu kenyataan hari ini, festival tersebut akan dibawa secara eksklusif oleh Amazing Aurora Entertainment dan dianjurkan Firmament Event Studio dengan kerjasama More Entertainment. Penganjuran yang pertama kali diadakan secara terbuka di Sarawak itu bakal menghimpunkan artis dari enam negara dunia.

Selain itu, fesival tersebut juga bakal menyatukan pelbagai genre muzik pada satu platform yang sama.

Pengunjung festival berpeluang menari dan menyanyi sepuas hati dengan Alan Walker dari United Kingdom, DJ Soda dari Korea Selatan, DJ Alexis Grace, DJ Ice Cream, DJ Chacha, DJ MYVAX dan DJ Paul dari Malaysia.

Juga Nicole Chen dari Singapura, DJ X Factor dari Filipina, DJ Venom C dan Moski Love dari Indonesia serta barisan penyanyi Malaysia seperti Rynn Lim, Thomas Jack dan Priscilla Abby bersama kumpulan muzik tempatan iaitu At Adau dan Tuku’ Kame’.

Alan Walker yang pertama kali bakal muncul di Sarawak amat popular dengan single berjudul Faded. 

Populariti lagu tersebut membolehkan Walker menerima sijil berlian di Jerman dan sijil multi-platinum di lebih 10 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Sehingga kini lagu ciptaan Walker terus mendapat perhatian ramai dan menguasai pasaran muzik antarabangsa.

DJ Soda yang merupakan salah seorang DJ wanita yang popular di Korea Selatan bukanlah satu nama asing dalam industri muzik. 

Namanya cukup popular di peringkat antarabangsa dan mempunyai berjuta pengikut dalam talian.

Bagi memeriahkan lagi festival tersebut, sesiapa yang membeli tiket awal iaitu pada 6 dan 7 Julai ini berpeluang mendapat potongan harga sebanyak 10 peratus. Diskaun tersebut hanya diberikan kepada pembeli tiket pada tarikh berkenaan sahaja. 

Jangan lepaskan peluang untuk mendapat tiket tersebut di www.excitix.com.myJangan ketinggalan untuk menikmati Borneo Music Festival Live 2022 yang bakal mencatat sejarah tersendiri. 

Tiket Borneo Music Festival Live 2022 akan mula dijual pada jam 12 tengah hari, 6 Julai ini.

Semua harga tiket dikenakan bayaran RM4 untuk proses yuran. 

Kemasukan ke festival muzik ini hanya untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai Borneo Music Festival Live 2022, sila ikuti Facebook: @bmfl2022