SIBU: Akauntan Wong Ching Yong hari ini melahirkan rasa gembira dan lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepadanya dalam kes beliau melawan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa Jawatankuasa Tatatertib MIA telah melakukan kesilapan ketidakwajaran prosedur dalam kes membabitkan Wong. "Ini adalah keputusan penting untuk amalan perakaunan. Saya gembira dan lega dengan keputusan mahkamah rayuan.

"Sudah enam tahun sehingga mahkamah rayuan memberikan keputusan yang memihak kepada saya," ujar Wong pada sidang media di sini, hari ini.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa terdapat ketidakwajaran prosedur dalam perbicaraan tatatertib kerana Jawatankuasa Tatatertib tidak memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan dan oleh itu peraturan keadilan semula jadi telah dilanggar.

"Dalam pendengaran Perbicaraan Tatatertib yang diadakan pada September 2017, saya dengan tegasnya enggan mengakui pertuduhan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib bahawa ketidakpatuhan piawaian pengauditan kertas kerja audit saya adalah satu kelakuan tidak profesional yang akan mencemar nama baik profesion perakaunan. 

"Oleh itu, saya meminta perbicaraan penuh dan Jawatankuasa Tatatertib bersetuju.

"Setiausaha Jawatankuasa Tatatertib memaklumkan kepada saya bahawa Jawatankuasa Penyiasatan akan membawa saksi mereka dan dokumen berkaitan ke perbicaraan penuh. 

"Saya dinasihati bahawa saya juga boleh ditemani oleh peguam saya sendiri dan mereka ialah Datuk Wong Rhen Yen dan Encik Victor Lau.

"Bagaimanapun semasa perbicaraan penuh yang diadakan pada Mac 2018, Jawatankuasa Tatatertib tidak mengemukakan sebarang saksi. 

"Selepas beberapa perdebatan undang-undang, pengerusi Jawatankuasa Tatatertib meminta kedua-dua pihak menyediakan hujahan.

"Selepas pertukaran hujahan, saya kemudiannya didapati bersalah dan didenda RM3,000," jelas Wong.

Memnurut Wong, rayuan beliau kepada Lembaga Rayuan Tatatertib juga tidak berjaya dan selepas berbincang dengan peguam, beliau memutuskan untuk memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sibu. 

"Saya kalah di Mahkamah Tinggi dan selepas itu saya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu. 

Sepanjang pengetahuan beliau, terdapat ramai amalan akauntan di Sarawak yang juga didapati bersalah kerana tidak mematuhi piawaian pengauditan dalam kertas kerja audit mereka. 

"Mereka didenda dan hukuman mereka kemudiannya disiarkan dalam media dan akhbar nasional.

"Ramai akauntan memberitahu saya bahawa mereka amat malu dengan penyiaran hukuman mereka.

"Oleh itu, cadangan saya kepada akauntan yang menjalankan amalan sekiranya berlaku sebarang penyiasatan oleh MIA, mereka harus mendapatkan pandangan undang-undang jika berasa bahawa Jawatankuasa Tatatertib tidak mematuhi peraturan dan peraturan undang-undang kecil tatatertib dan/atau tidak adil semasa dalam pendengaran. 

"Akauntan tidak sepatutnya mempunyai kekeliruan bahawa selepas membayar denda, isu sudah selesai.

"Ini adalah kerana penerbitan hukuman dalam warta atau akhbar adalah satu tanda hitam yang kekal dalam kerjaya profesional seseorang," tegas Wong.

Wong turut merakamkan penghargaan kepada penasihat serta barisan peguam bela beliau yang terdiri daripada Albert Tang, Datuk Wong Rhen Yen, Victor Lau, Gordon Tang, Wong Woan Yi, Dr Chew Peng Hui dan George Lim.