Kerja-kerja pelebaran jalan bagi menyelesaikan jalan susur di bawah persimpangan jejambat Lapangan Terbang Miri.

MIRI: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin menggesa Unit Lebuh Raya Pan Borneo di sini memberi keutamaan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di persimpangan Lapangan Terbang Miri dan Taman Tunku.

Lee yang kini berada di luar negara bagi urusan rasmi telah menghubungi unit terbabit bagi meminta kontrator yang dipertanggungjawabkan untuk bekerja lebih masa menyelesaikan kerja-kerja di kawasan tersebut secepat mungkin.

Sementara itu, unit tersebut dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, kesesakan yang berlaku berikutan kerja-kerja pelebaran dan penurapan jalan untuk menyiapkan jalan susur di bawah persimpangan jejambat Lapangan Terbang Miri.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kesesakan lalu lintas adalah di FT1 (Jalan Miri-Bintulu) di bawah Lapangan Terbang Miri Interchange (yang baru dibuka pada 20 Jun).

“Ia berikutan kerja-kerja pelebaran dan penurapan yang dilaksanakan bagi menyiapkan jalan susur berlaku di kawasan berkenaan. 

“Justeru, bagi memberi laluan melaksanakan kerja-kerja tersebut, penutupan salah satu lorong sedia ada menyebabkan kesesakan lalu lintas,” jelasnya.

Kontraktor yang dipertanggungjawabkan dijangka menyiapkan kerja-kerja pelebaran jalan dari bandar raya Miri menuju ke Taman Tunku pada Sabtu ini.

Manakala kerja-kerja yang sama dari Taman Tunku menuju ke bandar raya Miri pula dijangka siap pada 1 Julai ini.

“Bagaimanapun, ingin pihak kami tekankan bahawa sebaik sahaja kerja-kerja pelebaran dan penurapan jalan susur berkenaan siap sepenuhnya, aliran trafik akan kembali dalam keadaan biasa dengan dua lorong dibuka semula,” tambah kenyataan itu.