KUNJUNGAN: Juliah (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Jabbarullah (tengah) semasa kunjungan itu.

KOTA KINABALU: Syarikat swasta di negeri ini disaran untuk terlibat dalam membantu memasarkan produk-produk kraftangan dan Industri KeciI dan Sederhana (IKS) Sabah ke luar negara.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, penglibatan syarikat swasta dalam industri logistik dan e-dagang dapat membantu usahawan Sabah memasarkan produk mereka ke pasaran luar negara.

Katanya, Sabah mempunyai banyak produk kraftangan dari pelbagai etnik dan produk IKS yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.

"Produk-produk berkenaan banyak dijual di pasaran tempatan dan Semenanjung sahaja disebabkan kos pengangkutan yang agak tinggi untuk menghantarnya ke luar negara.

"Dengan adanya penglibatan syarikat swasta khususnya yang terlibat dalam bidang logistik dan e-dagang, sudah tentu ia dapat membantu usahawan tempatan kita untuk memasarkan produkproduk IKS ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada pengurusan World Asia Logistics (M) Sdn.Bhd di Rumah Yayasan Sabah di sini hari ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengarah World Asia Logistics (M) Sdn.Bhd Mohd Jabbarullah Abd Kadir bagi membincangkan produk-produk kraftangan dan produk IKS Sabah untuk dipasarkan ke luar negara.

World Asia Logistics adalah sebuah syarikat logistik untuk menghantar barang ke seluruh negara, turut terlibat mengambil produk-produk dari Malaysia untuk dipasarkan ke luar negara melalui aplikasi 'MyBakul' dan 'Big Borneo'.

Juliah berharap usaha yang akan dilakukan oleh World Asia Logistics menggunakan platform e-dagang dapat membantu usahawan di Sabah khususnya usahawan kraf dan IKS memajukan perniagaan mereka dengan memasarkan produk-produk tempatan ke pasaran global.

Hadir sama, Pengarah Urusan World Asia Logistics E.Kandasamy dan Pengarah Wyngs (Director of Wyngs) Eswar Kanda Kumar Kandasamy, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah Tseu Kei Yue dan Ketua Bahagian IKS DIDR Lofina Justin.