KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang guru lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini untuk membela diri atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki pada 2018. 

Hakim Afidah Abdul Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berusia 31 tahun itu. 

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Jun hingga 1 Julai ini untuk tertuduh membela diri.

Sementara menunggu tarikh tersebut, mahkamah melanjutkan ikat jamin tertuduh.

Tertuduh sebelum ini diberikan ikat jamin RM10,000 dengan RM2,000 didepositkan berserta dua penjamin tempatan. 

Mahkamah sebelum ini juga menetapkan seorang penjamin harus beralamat tetap di Kuching dengan gaji tidak kurang daripada RM2,500, selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mengikut kesemua enam pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar-pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun dalam beberapa kejadian berasingan pada Mac, April dan Mei 2018. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya antara jam 11.30 malam dan 4 pagi di beberapa tempat di sekolah itu.

Tertuduh dikatakan menyentuh kemaluan kesemua mangsa, menyentuh paha serta memeluk salah seorang mangsa untuk tujuan seksual.

Kesemua enam pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan. 

Kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff itu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil sekitar 18 saksi termasuk mangsa, pegawai penyiasat dan lain-lain untuk memberikan keterangan dalam kes ini. 

Sementara itu difahamkan, peguam yang mewakili tertuduh iaitu Hani Iryani Bonny dijangka akan memanggil sekitar 10 saksi pembelaan untuk membela diri.