Peniaga gagal meletakkan tanda harga pada telur ayam Gred A yang dipamerkan untuk jualan, kata Joe Azmi

Anggota KPDNHEP Miri melakukan pemeriksaan harian barangan terkawal bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang yang membebankan pengguna.

"Kita telah menyerahkan satu kompaun serta-merta ke atas peniaga terbabit kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan terkawal (telur).” 

Joe Azmi JamilKetua KPDNHEP Miri 

Oleh Mohamad Norhadie Sahari

MIRI: Sebuah premis perniagaan di Miri telah dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri selepas gagal meletakkan tanda harga pada telur.

Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan kelmarin sebuah premis dikesan kerana peniaga gagal meletakkan tanda harga pada telur ayam Gred A yang dipamerkan untuk jualan.

"Kita telah menyerahkan satu kompaun serta-merta ke atas peniaga terbabit kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan terkawal (telur).

"Pada Selasa pula, kita turut mengesan kesalahan yang sama kerana tidak meletakkan tanda harga pada telur Gred B dan tindakan juga telah diambil," jelasnya.

Pemeriksaan pelbagai akta mendapati tanda harga barang jualan di premis runcit secara keseluruhannya adalah memuaskan. 

Manakala pemeriksaan penggunaan alat timbang dan sukat untuk tujuan perdagangan juga mendapati alat timbang yang digunakan masih dalam tempoh tentusah. 

"Pemeriksaan bekalan barangan keperluan asas adalah cukup bagi menampung keperluan pengguna di sini," jelasnya.

Mengulas mengenai jualan air mineral, KPDNHEP Miri pada Selasa turut mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada air minuman botol berjenama Morning Dew 1.5 liter.

"Bagaimanapun, pemeriksaan bekalan air minuman di peringkat runcit mendapati ia ada dijual di premis yang dilawati.

"Air minuman Morning Dew 1.5 liter dijual pada harga RM8 sekotak.  

"Air minuman ini mengalami kekurangan bekalan susulan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Miri beberapa hari lalu," katanya.

Pihaknya akan terus memantau harga air minuman ini serta melakukan pemeriksaan harian di semua premis perniagaan agar tiada pihak yang masih mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.