KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$109.2 bilion pada 15 Jun, 2022.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan rizab itu adalah memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu adalah rizab mata wang asing sebanyak US$109.2 bilion setakat 15 Jun selain kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu US$1.4 bilion, Hak Pengeluaran Khas (SDR) US$6.0 bilion, emas US$2.4 bilion dan aset rizab lain berjumlah US$3.1 bilion.

Dari segi aset, BNM berkata emas, pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM458.14 bilion manakala kertas kerajaan Malaysia RM12.59 bilion, deposit dengan institusi kewangan RM621.30 juta, pinjaman dan pendahuluan RM23.76 bilion, tanah dan bangunan RM4.14 bilion serta aset-aset lain RM21.68 bilion.

Menurutnya, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM147.52 bilion), mata wang dalam edaran (RM159.84 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM158.43 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM11.67 bilion), deposit lain (RM5.26 bilion), kertas Bank Negara (RM5.26 bilion), peruntukan SDR (RM28.12 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.41 bilion). - BERNAMA