KUALA LUMPUR: Daripada cerita realiti sejarah diangkat ke layar perak, filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan yang bakal ditayangkan di pawagan bermula esok (23 Jun), pastinya dinantikan seluruh lapisan masyarakat.

Bukan mudah menghasilkan filem sejarah yang berkesan untuk mengimbangi antara fakta, peristiwa sebenar dengan fiksyen, namun filem arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof berjaya melakukannya sekali gus menjadi tanda aras baharu industri perfileman negara.

Apatah lagi dikatakan tidak ramai yang mampu menggalas cabaran itu kerana antara matlamat penghasilan filem adalah perniagaan selain bimbang filem berunsurkan sejarah yang menelan kos tinggi tidak mendapat pulangan setimpal.

Pengkaji filem, Bilal Jailani berpandangan filem yang menelan belanja kira-kira RM8 juta itu mampu menaikkan rasa cinta kepada agama dan bangsa setanding filem dari Turkiye, Fetih 1453 pada 2012 kerana terdapat persamaan dari segi genre dan tema.

“Jika rakyat Turkiye berasa 'energised' (bertenaga) dengan filem Fetih 1453, filem Mat Kilau pula akan meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri penonton Malaysia. Banyak mutiara kata dalam dialog filem itu yang menusuk kalbu dan berunsurkan nasihat yang membakar jiwa walaupun ia adalah filem fiksyen.

“Tinggal lagi, jika filem Fetih 1453 mampu melahirkan siri drama sejarah yang berjaya, mampukah filem Mat Kilau melahirkan siri drama sejarah bangsa yang ditonton setiap minggu oleh masyarakat kita, sehingga hidup kembali jati diri dan cinta dalam sanubari setiap rakyat? Itu persoalannya,” katanya kepada Bernama yang berpeluang menonton tayangan perdana filem itu baru-baru ini.

Penulis buku Nisah Haron pula berkata antara mesej yang jelas ingin disampaikan dalam filem Mat Kilau adalah mengenai kepimpinan berkualiti dan bertindak bukan dengan terburu-buru dalam melawan pihak musuh.

“Ia bukan soal ramai, tapi kualiti dalam bertindak, mengikut strategi dan sabar. Itu yang ditonjolkan oleh Mat Kilau (lakonan Datuk Adi Putra). Ia menjadi teladan kepada generasi muda hari ini yang sentiasa mahukan sesuatu perkara itu dengan kesan yang segera, tapi dalam melawan musuh, kesabaran dan mengikut ketua itu penting,” katanya.

Penerima Hadiah Sasterawan Muda Mastera 2017 itu juga berpandangan penerbitan filem Mat Kilau sekurang-kurangnya memberikan sedikit dokumentasi masyarakat dahulu kala dan menggambarkan Mat Kilau adalah hero kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Orang Melayu kita terutama generasi hari ini kekurangan hero, sebab itulah apabila misalnya cerita animasi seperti Ejen Ali dan filem fiksyen lain yang diterbitkan Marvel Studios sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Nisah juga mengakui sejarah yang divisualkan mempunyai tarikan luar biasa kerana tidak ramai orang yang mempunyai imiginasi kuat untuk menggambarkan kejadian dahulu kala seperti susah payah pengorbanan orang terdahulu mempertahankan tanah air demi generasi hari ini.

Sementara itu, peminat sejarah Zakaria Rahim berkata sebarang usaha pembuatan filem berinspirasikan sejarah harus disokong selagi ia tidak merosakkan cerita asal sejarah tersebut.

“Kini, kita dihidangkan sebuah filem yang memaparkan budaya Melayu, silat Melayu, perjuangan Melayu dan pendekar Melayu. Jika kita sokong filem begini, maka lebih ramai penerbit berani melabur dan lebih ramai pengarah berani turun tangan untuk menggarap filem berinspirasikan sejarah,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil pula mengakui negara masih kekurangan filem kenegaraan seperti Mat Kilau dan berharap lebih ramai pengkarya dapat menterjemahkannya secara komersial dan menyesuaikan dengan peredaran masa sekarang agar ia ‘segar’ untuk memberikan pemahaman yang lebih mudah kepada generasi hari ini.

Dalam pada itu, penerbit Studio Kembara yang menerbitkan filem Mat Kilau, Abdul Rahman Dali berkata  penghasilan filem tersebut yang diinspirasikan daripada kisah benar bertujuan menonjolkan ketokohan watak yang dicatatkan dalam sejarah.

“Pemilihan watak Mat Kilau juga diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Bagaimana seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, budaya dan bijak sanggup mempertahankan tanah air walaupun pada masa itu British adalah antara kuasa besar dunia.

“Nilai-nilai murni ini yang hendak diterjemahkan supaya generasi ‘gajet’ tidak leka dan lupa asal usul mereka untuk dijadikan contoh teladan yang baik,” katanya dan menambah 60 peratus perjalanan cerita filem itu berkisarkan kisah benar dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi filem berunsur seperti itu sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Filem Mat Kilau dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron,  A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian. - BERNAMA