Khairy pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Sesi Dialog sempena Persidangan Pengarah-pengarah Hospital Kementerian KKM hari ini. - Gambar BERNAMA
PETALING JAYA: Golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta individu berpenyakit kronik digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak kedua bagi meningkatkan imuniti mereka dalam mencegah dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana dijangka berlakunya pasang surut kes COVID-19 dan kemungkinan negara ini dilanda gelombang baharu dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

“Sejauh mana gelombang itu atau sebesar mana gelombang itu kita tidak pasti tetapi berdasarkan perkembangan epidemiologi negara-negara lain menyatakan gelombang jangkitan itu akan berlaku.

“Sebab itu dalam kategori tertentu, mereka yang berusia dan mengalami masalah kesihatan yang kronik digalakkan untuk top up imuniti mereka melalui penambahan dos vaksin,” katanya selepas merasmikan sesi dialog sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Khairy berkata setakat semalam, seramai 107,844 orang di Malaysia telah menerima suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 dan 57,834 daripada jumlah itu terdiri dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas. - BERNAMA