Azman pada sidang media Kejayaan Operasi Khas Dadah di Betong dan Tangkapan Pusat Hiburan di Kuching di Pusat Media, IPK Sarawak, semalam.

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan pelbagai aktiviti  dan jenayah yang berlaku sekitar Jun tahun ini di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, antaranya aktiviti penyedutan pasir, aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan, penyeludupan diesel dan sebagainya.

Katanya, pada 19 Jun sekitar jam 10 malam menerusi Ops Kontraban yang dijalankan di Jalan Setia Raja, Kuching polis menahan sebuah lori berwarna putih disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan ke atas pemandu berusia 41 tahun itu gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Suspek bagaimanapun ditahan untuk tindakan lanjut dan kesemua barangan termasuk lori dengan muatan minyak diesel bernilai RM51,000 dirampas untuk tindakan lanjut," katanya. 

Jelasnya dalam kes ini, suspek menggunakan modus operandi dengan membeli minyak di beberapa stesen minyak lalu dikumpulkan di pusat pengumpulan minyak sebelum dijual kepada kilang atau syarikat lain.

Selain itu, pada 18 Jun lalu, PPM Sarikei telah menahan dan memeriksa sebuah kapal korek pasir di Tanjung Kelei.

"Setelah diperiksa didapati kapal kargo tersebut telah melakukan aktiviti mengorek pasir.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada lesen dan dokumen yang sah daripada pihak Jabatan Tanah dan Survei terhadap aktiviti berkenaan dan ia merupakan salah satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Sarawak.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1.2 juta dan semua rampasan dan barangan diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Dalam pada itu, pada 15 Jun sekitar 2 pagi semasa menjalankan Ops Gelora, PPM Kuching menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat tunda kelas C pada jarak 6.77 batu nautika pesisir Pulau Talang-Talang, Kuching sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati telah melakukan kesalahan penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan   dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Seramai lima lelaki tempatan berumur 19 hingga 54 tahun ditangkap dan kesemua barangan set peralatan dianggarkan bernilai RM182,000 dirampas," jelasnya.

Katanya, PPM Sibu turut menahan kapal disyaki membawa minyak diesel di Sungai Batang Rajang pada 16 Jun lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sijil Petroleum Development Act (PDA) dan tiada lesen menyimpan barang kawalan tanpa permit di mana ia merupakan satu kesalahan di bawah KPDNHEP.

"Kesemua barangan melibatkan kapal dan muatan dianggarkan berjumlah RM2.2 juta itu bagaimanapun dirampas," jelasnya.

Sementara, pada 10 Jun sekitar jam 2.30 petang PPM Sibu turut menahan sebuah kapal melakukan aktiviti penyedutan pasir dan hasil siasatan mendapati juragan kapal gagal menunjukkan dokumen dan lesen penyedutan pasir yang sah selain lesen kapal berkenaan tamat tempoh.

Katanya, enam kru kapal berusia 25 hingga 56 tahun ditahan bersama rampasan bernilai RM2.6 juta untuk tindakan lanjut.