Sarawak bakal jalan kajian terperinci bagi memudahkan perkhidmatan pengangkutan dari Pontianak ke Sarawak

Abdul Karim (tengah) ditemani (dari kiri) Gracie, Snowdan, Hii dan Sharzede. - Gambar oleh Roystein Emmor

“Kita akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak sama ada perkara ini dapat diselesaikan kerana kita ambil maklum bahawa mereka yang datang mendapatkan rawatan di Sarawak kebanyakannya dari Pontianak.”

Dato Sri Abdul Karim Rahman HamzahMenteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Sarawak bakal menjalankan kajian terperinci bagi memudahkan perkhidmatan pengangkutan dari negara jiran Indonesia iaitu Pontianak, Kalimantan ke Sarawak bagi menyokong sektor pelancongan perubatan di sini.

Demikian kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media hari ketiga Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 di Kampung Budaya Sarawak semalam.

“Kita akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak sama ada perkara ini dapat diselesaikan kerana kita ambil maklum bahawa mereka yang datang mendapatkan rawatan di Sarawak kebanyakannya dari Pontianak,” katanya.

Beliau turut mengakui masalah itu bertambah buruk sejak sempadan ditutup akibat pandemik COVID-19.

Akibat penutupan sempadan itu juga, pengangkutan dari Pontianak ke Kuching tidak boleh berulang-alik dari Kuching ke Pontianak.

Sebelum ini, pemberita dari Pontianak Post telah memaklumkan juga kepada beliau bahawa sempadan Sarawak-Indonesia dibuka semula sejak dua bulan lalu.

Walaupun begitu, ia masih sukar bagi penduduk Pontianak kerana tidak mempunyai pengangkutan awam disediakan seperti bas dan pesawat untuk ke sini.

Sementara itu, Abdul Karim berkata sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, sektor pelancongan perubatan negeri meningkat dengan kebanyakannya adalah mereka yang datang dari Indonesia.

Beliau kemudian mendedahkan bahawa pada 2019, mereka yang mendapatkan rawatan perubatan di Sarawak berjumlah 47,000 orang.

Lantas itu, beliau menganggap angka tersebut merupakan 'jumlah yang baik' kerana menjadi kebiasaan mereka untuk datang bersama beberapa ahli keluarga yang lain serta melanjutkan rancangan untuk tinggal di sini beberapa hari sebelum pulang.

“Perkara ini bagus untuk ekonomi terutama industri (pelancongan),” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor dan Pengarah Place Borneo Gracie Geikie.