Rubiah bersama warga SK Wira Jaya serta jemputan sejurus selesai majlis.

PROGRAM Rimup Budaya, Tautan Kasih Gawai Raya 2022 anjuran Sekolah Kebangsaan Wira Jaya landasan terbaik untuk menerapkan nilai budaya sekaligus mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak di sekolah.

Malah, program ini diyakini mampu menjadi model untuk memupuk perpaduan yang penting untuk membantu mengekalkan kestabilan, kemajuan dan tamadun di negara ini. 

"Saya melihat Rimup ini mampu memberi nilai tambah kepada program pengurusan sekolah dengan aktiviti mahupun objektif yang ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan," kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang ketika berucap merasmikan Program Rimup Budaya, Tautan Kasih Gawai Raya 2022 anjuran Sekolah Kebangsaan Wira Jaya di sini baru-baru ini.

Sebahagian dari pelajar yang turut bersama menyerikan majlis.

Rubiah memberitahu program seumpama ini mampu menyuntik semangat kerjasama perpaduan Keluarga Malaysia dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan bangsa seperti apa yang telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob.

Selain itu, katanya amalan kunjung mengunjung rakan pelbagai bangsa pada setiap musim perayaan itu adalah praktikal mudah menyatupadukan rakyat Malaysia secara berkesan.

Merujuk kepada Sarawak yang mempunyai kepelbagain kaum, Rubiah berkata ia merupakan satu contoh yang amat relevan sebagai lambang penyatuan bangsa dalam melahirkan negara yang harmoni dan sejahtera.

Rubiah melawat gerai panitia Bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia optimis mampu terus memperkasakan lagi temasya program Rimup secara berkala pada masa hadapan demi merealisasikan agenda penyatuan kaum secara kukuh. 

Keyakinan ini perlu disahut pelbagai pihak khususnya ibu bapa, badan bukan kerajaan dan pemimpin politik setempat.

"Saya tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan media sosial adalah penyebab utama meruntuhkan benteng perpaduan negara khususnya masyarakat pelajar dan guru di sekolah. 

"Kita mampu menangani ancaman ini daripada menguasai negara yang cukup memberikan kesan buruk," ujar beliau.

Bersama Guru SK Wira Jaya yang bertungkus lumus melatih untuk persembahan.

Media sosial jelasnya boleh digunakan untuk tujuan lebih positif seperti pendedahan program RIMUP di sekolah dalam negara ini. 

Menurutnya lagi kesan yang baik ini mampu menjana kecemerlangan institusi perpaduan kaum. 

Panitia PAI menyediakan juadah masakan utara.

"Paling penting keikhlasan hati setiap insan membantu kerajaan menyatukan kaum berbilang bangsa.

Guru Besar SK Wira Jaya Rosnah menyampaikan cenderamata kepada Rubiah.

"Kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik asalkan diri ini mempunyai keikhlasan hati dengan sentiasa berbaik sangka satu sama lain dan terus menyokong dasar holistik kementerian ini secara menyeluruh," katanya.

Dalam majlis tersebut para tetamu jemputan turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik dari pelajar sekolah di peringkat Pra Sekolah hinggalah kepada pelajar Tahun 6.

Kumpulan Panitia Sains tidak menyangka apabila diumumkan sebagai gerai tercantik oleh pihak juri.

Tidak ketinggalan acara ngabang gawai dan berjarah raya dengan penyediaan gerai-gerai jamuan dari panitia-panitia mata pelajaran, PIBG dan Pentadbir Sekolah. 

Setiap gerai menyediakan pelbagai juadah yang amat menyelerakan  dari juadah tradisi hinggalah juadah moden.

Pelajar pra sekolah melafazkan ikrar rukun negara sebagai persembahan pada majlis tersebut.