Wong (tiga kanan), Ngu (tiga kiri) serta yang lain ketika menunjukkan poster 'theSTAGE' yang akan diadakan pada 27 dan 28 Mei ini di Rajang Esplanade, Sibu.

SIBU: Program hiburan 'theSTAGE' akan diadakan di Rejang Esplanade di sini pada 27 dan 28 Mei, jam 6 petang hingga jam 9 malam. 

Pelbagai persembahan akan ditampilkan pada program itu seperti muzik Melayu, tarian Cina moden, pertunjukan silap mata, sape, duet Melayu, muzik Cina, tarian moden Melayu, persembahan gendang kanak-kanak, kebudayaan Cina dan sebagainya.

Program ini adalah inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng dan disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Pusat Khidmat DUN Bukit Assek dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Pengerusi penganjur, Oliver Wong berkata, program itu adalah landasan penghibur berbakatmengejar impian mereka dan mencari lebih banyak pendedahan.
 
Jelasnya, ia adalah acara bagi setiap penghibur, tanpa mengira kaum, umur atau latar belakang. 

"Kami berharap ia dapat diadakan setiap dua bulan sekali dan kami boleh membawa penghibur tempatan untuk bekerjasama dengan agensi media kreatif bagi meningkatkan pendedahan mereka. 

"Kami juga berharap dapat menarik ramai pengunjung dalam usaha mengembangkan perniagaan di kawasan sekitar melalui acara ini seterusnya merangsang ekonomi Sibu," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, beliau menggesa orang ramai menyokong penghibur tempatan dengan menghadiri acara ini dan masuk percuma. 

"Bawa seluruh keluarga ke Rejang Esplanade untuk makan, minum sambil menghayati muzikal hasil orang Sibu," jelasnya.

Sementara itu, Presiden JCI Seduan Ngu Koh Kit berkata, sempena program tersebut MPS juga akan membaiki kemudahan dan membersih lantai bagi mengindahkan Rejang Esplanade untuk membolehkan semua orang menikmati pemandangan malam Sibu  berbeza dalam persekitaran selesa.

"Majlis itu dianjurkan oleh belia untuk belia. Tujuan JCI Seduan ialah membangunkan bakat anak muda, menggabungkan kekuatan belia, membangunkan tanggungjawab sosial mereka, mempelajari kemahiran kepimpinan, membina persahabatan dan mempromosikan operasi JCI Seduan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat," katanya.

Ngu berkata, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sibu akan mengedarkan 900 set hadiah percuma tajaan Nestle Products Sdn Bhd kepada penonton berumur 18 tahun ke atas.

Menurutnya, setiap individu hanya layak mendapat satu set hadiah selepas pendaftaran dan saringan umur. 

"Hadiah percuma diberikan berdasarkan 'Siapa Cepat, Dia Dapat' sehingga stok masih ada. Penyampaian hadiah percuma ini diberikan sempena program 'theSTAGE'," jelasnya.