Anthony (enam kanan), Jimpau (enam kiri) serta ahli yang lain ketika menyempurnakan upacara memotong kek Majlis Pra-Gawai KSDS di Sibu malam Sabtu lalu.

SIBU: Pengamal muzik sape diseru untuk tidak melepaskan peluang global daripada seni tersebut.

Menurut 'Sape Master' Jimpau Balan, seni muzik sape kini diiktiraf oleh dunia dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dipergiat dengan bersungguh-sungguh.

"Sebagai produk yang telah diiktiraf dunia, sape bukan lagi dilabelkan sebagai muzik kampung.

"Sape telah pergi dengan jauh apabila seluruh dunia tahu akan muziknya," katanya ketika berucap sebagai tetamu kehormat pada Majlis Pra-Gawai anjuran Kelab Sape Dayak Sibu (KSDS) di sebuah restoran di sini pada Sabtu lalu.

Jimpau turut mengimbau sewaktu zaman mudanya, beliau berasa malu bermain sape.

Jelasnya, dahulu masyarakat sering mengaitkan bermain sape ini sebagai ‘permainan' orang-orang tua.

Oleh yang demikian, beliau sering bersembunyi bermain sape kerana malu dilihat orang.

"Namun sekarang sape mempunyai kelasnya tersendiri.

"Ia sudah berada di peringkat antarabangsa dan dunia sudah mengiktirafnya sebagai salah satu muzik etnik yang bernilai di dunia.

"Selain itu, dunia juga sudah mengenali sape dan pemainnya berpotensi pergi jauh ke peringkat muzik etnik dunia seperti Jerry Kamit dan Allahyarham Saufi Aiman Yahya," jelasnya.

Beliau menggesa golongan belia terus bergiat aktif dan tidak malu bermain alat muzik sape.

Dalam pada itu, Jimpau melahirkan rasa bangganya apabila terdapat platform seperti KSDS untuk melahirkan seberapa ramai lagi pemain sape dalam kalangan belia amnya.

Ujarnya, dengan adanya kelab seperti itu ia akan memberi pendedahan kepada golongan yang baharu mahu belajar bermain sape.

"KSDS ini wajar kita kembangkan dan pertahankannya pada masa-masa akan datang. 

“Masa depan sape di Sibu juga boleh kita katakan terletak di tangan kelab ini kerana mereka lebih menonjol dengan penubuhannya.

"Saya berharap KSDS akan terus maju jaya dan berkembang dengan lebih baik lagi pada masa akan datang," katanya yang berasal dari Belaga.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan persembahan sape, ngajat, hiburan, karaoke, cabutan bertuah dan sebagainya yang dihadiri lebih 50 ahlinya berserta keluarga mereka.

Hadir sama Pengerusi KSDS Anthony Abong.