Siti (empat kiri) menerima cek replika perlindungan takaful Agro Bank daripada Alvina sambil disaksikan Lukanisman (belakang kiri), Ursula (tengah) dan Aziz (belakang dua kanan) bersama anak-anak yatim.

MIRI: Seramai 20 anak yatim daripada ahli Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Miri mendapat perlindungan takaful anak yatim dengan premium bernilai RM400,000 daripada Agro Bank. 

Penyerahan replika cek disampaikan Pengurus Agro Bank Cawangan Miri Alvina Benjamin kepada Pengerusi PPWS Daerah Miri/Lutong Siti Aminah Ismail pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Hadir menyaksikan penyerahan cek itu ialah Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan bekas Penasihat PPWS Miri Datuk Ursula Goh.

Lukanisman dan Alvina juga menyampaikan duit raya serta hadiah kepada anak-anak yatim. 

Selain menikmati juadah hari raya termasuk kek dan biskut, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya. 

Terdahulu, Siti dalam ucapannya memberitahu bahawa tahun ini genap 60 tahun penubuhan PPWS di Sarawak dan meraikan sambutan Hari PPWS pada setiap 5 Mei. 

PPWS meraikan sambutan Jubli Intan bertemakan 'Pemangkin Komuniti Dinamik' bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan PPWS dalam pembentukan wanita, keluarga dan pembangunan komuniti. 

"Ia juga bertujuan menjadikan PPWS sebagai pemangkin pemerkasaan wanita dalam pelbagai komuniti di Sarawak," jelasnya. 

Beliau berkata, sambutan turut mengetengahkan peranan PPWS sebagai pemangkin komuniti dinamik dalam memajukan wanita Sarawak. 

Tentang keahlian, PPWS dianggotai 400 ahli daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Sehingga kini terdapat 10 perkumpulan aktiviti di bawah daerah Miri/Lutong iaitu Perkumpulan Piasau Link, Gartak, Lutong, Pulau Melayu, Brighton, Kuala Baram, Luak, Bakam, Marudi dan Sepupok Niah.