Catherine (dua kanan) menyerahkan surat jemputan kepada Dennis untuk menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Media.

MIRI: Sarawak berjaya mencatatkan peningkatan kehadiran pelancong ke negeri ini sebanyak 500 peratus pada tiga bulan pertama iaitu Januari, Februari dan Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau berkata, ini merupakan petanda yang sangat menggalakkan untuk mencapai sasaran kunjungan pelancong ke Sarawak sebanyak 1.2 juta pengunjung tahun ini, malah beliau yakin STB mampu mencapainya dan kemungkinan akan melebihi sasaran ditetapkan. 

“Di pihak STB sendiri, kita telah adakan susunan program mempromosi dan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan diminati, pertamanya kita meneruskan promosi ke luar negara pada Januari lepas ke Dubai dan juga di Kuala Lumpur, selain mengadakan promosi menerusi platform secara maya. 

“Pasukan pemasaran digital kita di STB juga bergiat aktif dalam mempromosikan Sarawak di media sosial dan kita yakin dengan perancangan dan strategi yang diadakan ini akan membuatkan Sarawak diminati sebagai destinasi pelancongan,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Makan Malam Apresiasi Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) diketuai oleh pengerusi penganjurnya Catherine Igang di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan di sini hari ini. 

Dennis yang juga Ahli DUN (ADUN) Telang Usan berkata, bagi penganjuran dua festival muzik ikonik yang akan datang iaitu Rainforest World Music Festival (RWMF) di Kuching dan Borneo Jazz Festival (BJF) di Miri, respons yang diterima dari segi penjualan tiket menunjukkan angka yang cukup menggalakkan. 

“Namun saya telah mengarahkan pengurusan STB untuk mempergiatkan lagi aktiviti promosi ini disebabkan sasaran pengunjung bagi RWMF ialah seramai 5,000 pengunjung, manakala BJF diantara seramai 2,000 ke 3,000 pengunjung.
 
“Selain itu, kedua-dua acara ini bukan sahaja diadakan secara fizikal malah turut dibuat secara dalam talian ataupun melalui media sosial, pengunjung yang kita panggil penonton juga perlu membeli slot untuk mereka menonton,” ujarnya. 

Selain itu, beliau berkata, strategi libat urus bersama pemain industri tempatan akan terus dipergiatkan bagi membangunkan kembali industri pelancongan pasca COVID-19. 

“Ini kerana seramai mana pengunjung yang datang ke Sarawak, pengendali industri tempatan perlu bersedia untuk membawa pengunjung melancong, menyediakan pengangkutan, jurupandu dan sebagainya. 

“Saya mendapat maklumat semasa pandemik COVID-19 selama dua tahun, memang ada beberapa pemain industri yang menghadapi kesukaran, tetapi saya gembira untuk menyatakan melalui maklum balas yang saya terima, mereka kini kembali aktif menghidupkan syarikat masing-masing. 

“Malah, mereka kini bersedia menerima kehadiran pelancong yang dijangka akan banyak ke negeri ini kerana melalui maklum balas kita terima, para pelancong sekarang lebih gemar mencari tempat yang menawarkan tempat-tempat berasaskan kehijauan, persekitaran, kepelbagaian makanan dan kita di Sarawak mempunyai tempat-tempat yang hebat seperti itu,” jelasnya. 

Sementara itu, semasa kunjungan hormat berkenaan, Catherine telah menyerahkan surat jemputan kepada Dennis untuk menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Media yang bakal diadakan pada 27 Mei depan di Hotel Mega Miri. 

Hadir sama menemani beliau ialah Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Andy Jong.