KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini akibat melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak mencederakan bapanya. 

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tertuduh, Mohamad Nur Fizdris Ideris, 33, yang mengaku bersalah sebaik dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 10 Mei lalu terhadap bapanya yang berusia 63 tahun, sekitar jam 12 tengah hari di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Stapok, Jalan Batu Kawa di sini.
 
Mengikut keterangan kes, mangsa terdengar bunyi suara tertuduh bising di depan rumah dan seterusnya terdengar bunyi kaca pecah. 

Apabila mangsa pergi ke depan rumah, mangsa mendapati tertuduh sedang berjalan mundar mandir dengan memegang pisau serta meracau-racau tanpa sebab yang tidak diketahui. 

Melihatkan mangsa datang ke depan rumah, tertuduh bertindak semakin agresif dengan menghempas pisau ke atas meja dan menyebut ‘jangan dekat kau aku cederakan nanti’.

Mangsa yang berasa sangat takut, bimbang dengan keselamatan diri serta berasa terancam selepas mendengar ugutan dari anaknya (tertuduh) seterusnya membuat laporan polis. 

Difahamkan, tertuduh sebelum ini juga sering bersikap agresif di rumah tanpa sebarang sebab.

Tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.