Jaya Ramba
Status
MAKA, mereka bercakap mengenai sistem takhta keturunan, sebuah ketamadunan di hujung rimba dan ke hulu sungai. Status ini kukuh mengulit tubuh badan mereka yang telah begitu lama menebat kehidupan di rumah panjang ini. Di sinilah sekali lagi dibicarakan perkara yang sama dan hari ini menjadi kerisauan. Dikatakan kepercayaan mereka harus dipelihara. Ini martabat dan maruah! Status ini adalah perbezaan dalam kelas atasan, pertengahan, dan bawahan. Keturunan mengatakan adalah satu dosa besar sekiranya anak bangsa tidak boleh menentukan masa depan mereka.
Dia memberi penetapan dengan tegas sekali. Tokoh besar berkenaan yang amat risau dan sangsi. Betapa dia tahu yang amalan mereka telah longgar. Adat keturunan mereka dilanggar. Sumpah keramat yang dipelihara telah tercemar. Status kelas tinggi mereka dikotorkan. Tokoh besar itu berucap dengan berani hingga matanya bersinar.
“Takhta ini! Aku katakan Maran status bangsawan tidak boleh diletakkan sebarangan. Kelas yang dijaga ini satu sumpahan etnik kita. Maran adalah “Tuai” yang menjaga segala hidup identiti. Taraf ini tidak boleh dikatakan dengan istilah pun. Istilah sudah dimain-mainkan. Inilah akar pantang-larang antara kelas bawahan dan atasan. Seharusnya dijaga sampai bila-bila. Tidak boleh diubah!”
Tokoh itu terus bercerita panjang. Sinar di matanya masih mengilau. Pada perhatian mata yang merenungnya, kedutan dahi menandakan dia amat berwaspada. Segelintir mereka risau akan perubahan hari ini. Hari ini dan berkenaan tamadun mereka. Bagaikan dipaksa, mereka mahu bersepakat membina kembali tugu di puncak ini. Lihatlah, tugu terserlah ukiran bangsa, status bawahan dan atasan sebagai garis masa hadapan. Di sinilah upacara ritual keturunan sehingga ke anak cucu mereka. Selagi bunyi sape dimainkan dan selagi ukiran tradisi di mana-mana, itulah status keturunan mereka. Tokoh itu bercerita dengan tidak berselindung.
Upacara identiti
Aku amat pasti sejarah bangsa mereka. Aku tidak menolak bila diajak ke sebuah rumah panjang yang tidak pernah aku datangi. Kini, aku mengharungi keadaan yang menggerunkan ini.
Ketika sebatang buluh dibakar, menjadi bengkok. Ketika mainan sape dari beberapa anak muda berkumandang, bunyinya merdu. Ketika suara dayung bermantera, lunak. Pagi ini bisik angin menggoyangkan dedaunan di luar rumah panjang. Rintik hujan menghentikan tujuan mereka. Kini, mereka menyimpan prasangka bersimpang-siur. Sebahagian yang duduk diam, memasamkan wajah. Sedangkan sebahagian mereka di ruai duduk bersahaja. Masing-masing memainkan perasaan yang tidak boleh diluahkan tetapi menerima takdir berkemungkinan.
Buluh yang dibakar akhirnya membengkok. Abu yang terbentuk itu beterbangan ditiup angin. Mereka menimang bayi itu dengan nama yang salah, itu kononnya. Upacara menindik telinga juga kecoh kerana dicemari darah pekat yang mengalir. Bisik-bisik berbaur resah terus kedengaran dan segelintir tokoh mengangguk. Kononnya mereka amat faham akan kesudahan yang berlaku. Tidak kurang yang berpandangan kerana tidak setuju dengan persepsi kepintaran tokoh. Bukan status keturunan yang menyebabkan semua ini berlaku. Bukan akibat memilih pasangan hidup campuran, nama bayi mereka salah dinamakan. Bukan kerana pengaruh budaya luar telah menembok di rumah panjang mereka.
Ketika angin menyentuh lembut dan nyaman. Ketika awan muram dan langit pucat kelat. Ketika hujan rintik. Ketika siulan burung kedengaran begitu aneh. Ketika celahan sang tupai menyelat. Maka, mereka mulalah beramai-ramai berbisik kepada alam. Kebetulan muncul pula bayangan asing di sekeliling mereka. Keadaan bertambah bercelaru. Tokoh yang mengatakan dirinya dayung bergelar Maran berkenaan melepaskan mantera. Doa yang lebih kepada ikatan mereka dengan alam. Doa yang tidak melepas gunung-ganang. Kata-katanya penuh dengan pantang-larang. Ucapan yang berselat dugaan dan cabaran. Katanya, inilah permainan bangsa mereka sendiri selama ini dalam sebuah sistem rumah panjang yang moden. Namun, aku hanya mendiamkan diri ketika dirasuk indah yang tercemar.
“Sesiapa tidak mengenali dirinya, itu bukan bangsaku. Sesiapa yang tidak mengamalkan status Maran, bukan bangsaku. Sesiapa meletakkan dirinya Maran, itu mengkhianati bangsaku. Bangsawan adalah aku dan bangsa-bangsa aku. Patutlah petir menyisir langit di atas rumah panjang ini. Patutlah siang, bara mentari membakar setiap tapak sudut tanah ini. Patutlah sungai sejarah melemaskan sehingga kini. Patutlah angin yang bertiup sentiasa berbisik sangsi. Patutlah malam kegelapan berpanjangan merempuh hidup kita. Patutlah sinar bulan yang mengambang amat meremangkan.” Tokoh muda yang menggelarkan dirinya Maran itu bersuara sambil matanya ke arah bayi yang dikelilingi orang ramai.
Aku melalui saat getir mahu melihat keaslian ini di depan mata. Memang ternyata aku mahu memperoleh pengalaman. Pengalaman aku selama ini berbeza pelik sekali. Suasana upacara menggoda sesiapa saja. Aku pasti sebahagiannya terpetir oleh takdir. Mereka ini orang-orang Maran. Mereka ini bukan orang Maran. Mereka setengah orang Maran dan setengah bukan orang Maran yang masuk Maran.
Antara dua darjat
Sepasang pengantin duduk di atas tetawak besar. Sebahagian di sebelah kanan pengantin lelaki berpakaian masyarakat Iban. Di sebelah kiri, keluarga pengantin perempuan berpakaian etnik Orang Ulu. Tertonjol ukiran indah yang amat lembut di mata. Kata seorang perempuan tua ke cuping telingaku, itulah keluarga Maran tersohor. Aku kaku. Namun, aku tidak langsung membalas bahawa pengantin lelaki itu juga dari keturunan ngayau. Keturunan terbilang yang keluarga mereka menyimpan seribu satu sejarah. Kitab “Petunjuk Jalan” yang kaya adat resam menjadi amalan hingga ke hari ini.
Aku menikmati suasana yang bercampur-baur, sangat keliru. Sejak semalam semuanya dilihat menemui jalan buntu. Semuanya terlajak dengan perkara yang tidak disangkakan. Tidak pernah aku mengalami kesukaran ini. Malah tidak pernah aku melihat pertimbangan oleh suasana menang-menang antara dua keluarga besar ini. Sejak tadi aku menyelami hati pengantin. Aku sedar kedua-dua orang pengantin ini dirusuh ketidaktentuan oleh lingkaran dua budaya. Bukan sahaja serba salah. Ada monitor zaman mengikat mereka. Tadi, pengantin lelaki berkata yang mereka seperti bayi di dalam katil. Keturunan mereka mencipta dewa dengan membuat jalan perintis. Mereka mahu bumi mereka mengekalkan warisan. Tugu-tugu budaya dipacak pada kehidupan generasi. Tidak berlaku songsang apabila terpijak pantang-larang. Ia boleh menggunakan darah binatang bagi menterbalikkannya. Itulah nasib pengantin yang aku saksi.
Ketika diamuk kecamuk, aku berasa lega apabila didendangi alat tabuh. Bunyi paluan tetawak, gendang dan ketukan engkerumong. Mata kami beralih kepada pemudi lengkap dengan ngepan pakaian. Barisan gadis Iban dengan tarian yang aku agung-agungkan hingga kini. Alangkah kagumnya aku melihat tepukan memecah kesunyian. Bunyi-bunyian anting di kaki. Gantungan alat tembaga pada kedua-dua belah tangan. Sugu Tinggi yang sesekali bersinar apabila dipercik pencahayaan. Suasana amat berseri-seri. Lalu, tabuh baru ditamatkan dan disambung dengan bunyian sape. Muncullah barisan gadis muda dengan pakaian hitam berukiran warna kekuningan. Bunyi sape dan nyanyian gadis etnik bagaikan seruan angin, memukau. Tepukan juga amat bergemuruh. Ketika ini seorang tua bersuara di sebelah aku yang duduk sepi.
“Ini bukan tarian kami. Ini bukan nyanyian keturunan. Aku sendiri tidak pernah tahu,” selat orang tua yang tersengih-sengih di sebelah aku.
Aku cuma senyum kepada orang tua yang memasamkan wajahnya. Katanya bukan bangsawan mencuri hidup bangsa lain. Ini berbeza dengan mencuri hidup orang lain. Berbeza setelah beranak pinak yang ada anak cucu. Berbeza apabila perpaduan dengan bangsa lain yang amalan kehidupan sudah seperti bubur. Aku tahu maksud yang dinyatakan orang tua ini. Bukannya mudah mempertahankan status komuniti. Bukannya mudah hidup dengan amalan berkeadaan perpaduan yang terbuka dengan cara sosial masyarakat pada hari ini. Aku sedar mereka ditaufan badai perubahan.
Wajah-wajah sekalian sangsi, tunduk membisu ketika ini yang hangatnya dengan tepukan orang ramai. Setelah ketua keluarga gadis tidak mahu berkata apa-apa, ahli keluarga pihak lelaki pun hanya bersahaja. Agaknya tujuan upacara sejak tadi hingga ke waktu ini adalah sebagai halangan di hati masing-masing. Semua tetamu sedar perkara “status” yang diagung-agungkan berbangkit dan menjadi nanah di hati. Mereka mendiamkan diri dengan cara memerhati dan seterusnya merealisasikan apa yang bakal terjadi. Semuanya berlaku bagaikan tidak dirancang.
Sebahagian mereka amat menyayangi warisan rimba ini. Cinta mereka telah berakar subur kerana amalan ini telah lama dianugerahkan. Mereka telah katakan yang mereka beruntung dilahirkan dalam gerabak minoriti walaupun inilah benih generasi zaman ini. Hanya mereka kecewa kerana masih digelungi status yang merendah-rendahkan maruah diri. Walaupun ritual dilakukan dengan memberi makan roh alam, namun natijahnya secara senyap membunuh mimpi di siang hari.
Antara minoriti
Mereka mahu melupakan segan diri sehingga mereka menyanyikan lagu warisan keturunan datuk nenek. Mereka tidak mahu campur aduk kisah lalu. Mereka bangsa pusaka yang ada maruah. Mereka menjahit benang-benang lama pusaka perpaduan. Mereka mahu kehidupan penuh perpaduan. Tidak ada sakti lagi yang mengikat. Inilah zaman maju.
Aku kembali menyertai pengantin lelaki ke rumah panjang yang beberapa tanjung jaraknya dari rumah panjang pengantin perempuan. Baru pagi ini aku melihat wajah keluarga mereka berseri-seri. Kepingan hati mereka tidak koyak rabak. Fikiran mereka tidak terganggu. Cuma sesekali mereka melayan resah diri. Ketika ada waktu mereka termenung panjang tetapi seorang tua yang celupar mulutnya sering menimbulkan gurau senda. Pengantin lelaki yang masih dalam keadaan resah, tetap menenangkan diri. Baik tidak berlaku salah sangka. Mereka mengharungi saat yang tidak dijangka dengan penuh rasa hormat sesama sendiri. Sesungguhnya mereka seperti buih-buih putih yang tersadai di tepi pantai.
“Tidak mungkin tanah-tanah keluarga dibezakan dengan sempadan setelah ditentukan status. Pemberian pula mengikut kemahuan selagi anak cucu kekal dengan status keturunan. Nasib mereka, dan masa depan mereka ditentukan permainan takhta. Sekiranya anak cucu terkeluar daripada status ini, maka hilanglah identiti mereka dalam menuntut hak. Mereka bagaikan dibuang, “ditelan mati emak, diluah mati bapak”. Orang tua yang tersengih-sengih merenung ke arah mata aku.
Ketika perahu kami bergerak perlahan melalui tengah sungai yang tidak beriak, aku terganggu oleh senyuman masam pengantin perempuan. Bagaikan ada perkara tersembunyi di lubuk hatinya. Dia sempat merenung aku. Akhirnya, dia ketawa kecil.
“Ini menjadikan kami paling minoriti. Wajarkah kami keluar dalam kesenyapan daripada mahu terus dirantai status? Siang malam seakan bermimpi ngeri dikurungi awan tradisi. Kami tidak boleh menganiaya bangsa kami sendiri kerana perbezaan status ini. Sedangkan kami satu bangsa. Maka, kami sudah lama memecahkan tembok ini. Meninggalkan semuanya demi masa depan terbaik.” Pengantin perempuan yang baru bersuara meluahkan perasaan sambil merenung ke arah pasangannya.
“Permainan takhta sudah tidak wujud,” tokok orang tua yang duduk sambil matanya ke haluan perahu.
Aku menajamkan pengalaman yang berlaku semalam. Permainan darjat yang mahu dijaga sesetengah manusia yang mewarisi keluarganya adalah sistem penindasan. Penindasan dalam keluarga yang merendah-rendah hidup diri mereka sendiri. Masakan menamakan bayi merujuk kepada ritual. Melubang telinga untuk anting? Masakan apabila darah pekat mengalir bermakna tidak sempurna? Malah perkahwinan status berbeza dihalang kerana menjaga maruah diri dan sejarah keluarga. Aku menggeleng-geleng kepala.
“Ingin aku jelaskan, mereka membuang aku kerana perkahwinan ini. Demi bangsaku, biarkan! Demi hidup aku, aku harungi!” Ucap pengantin perempuan.
Baru sedar. Aku memahami kemelut yang diharungi. Ketika orang tua di sebelah aku mahu terus bersuara, kami melepasi sebuah tanjung. Hujung sebuah rumah panjang sudah kelihatan. Haluan perahu diarahkan ke tebing. Aku menarik nafas dalam.
Bara terus menyala
Alangkah damainya rumah panjang ini. Penghuni ruai yang penuh sesak dengan gurau-senda. Wajah-wajah yang memandang sentiasa ranum dengan senyuman. Ini pasti hubungan mereka dirantai perpaduan. Cara kerja yang penuh amalan. Sistem kebebasan yang tidak digugat pertelingkahan.
Ketika aku duduk, dengan renungan mata aku terpaku di satu sudut yang menarik. Aku terpegun kerana rumah panjang moden ini masih menyimpan tengkorak-tengkorak yang dihias dengan lilitan rotan. Di sebelah kiri pula, aku melihat salib keagamaan di beberapa buah pintu bilik. Aku tertanya-tanya sendiri. Aku pernah melalui suasana pertentangan ini. Aku pernah menyertai ritual di ruai yang disapat sehingga hubungan penghuni putus. Amalan itu dan amalan ini sehingga timbul perbezaan yang akhirnya perpecahan. Malah perebutan kuasa melebihi hak masing-masing.
“Inilah rumah panjang contoh! Kebebasan! Kebebasan di bawah peraturan!” beritahu seorang tua yang baru duduk di sebelah aku. Dia memahami apa yang sedang aku fikirkan.
Aku teruja mendengar setiap kisah yang dibangkitkan. Sejarah kewujudan dari kisah Rentap sehingga menjadikan rumah panjang ini moden. Dari sebuah kawasan tradisi sehingga ke tamadunan contoh. Dari penduduknya asal miskin sehingga beberapa orang telah menjadi tokoh pemimpin ternama. Kisah yang menyerlah ini menjadi penghias ke serata semesta. Ketika inilah mata aku senang merenung sudut-sudut kuno dan moden bertembung. Pertembungan ini tidak mendatangkan prasangka celaka antara penghuni rumah panjang. Ruai rumah panjang ini menenangkan fikiran buat sesiapa sahaja yang datang.
Sesekali gurau senda mengisi suasana. Gelak ketawa meredah sedar ketika manusia kekakuan. Ketika angin lembut menerobos. Ketika dingin menyelimut tubuh. Ketika damai membelai perasaan dan hati. Ketika manusia yang datang sedang menyesuaikan diri. Aku merenung ke arah tetamu pengantin perempuan yang baru naik dari arah tangga. Mereka langsung masuk ke rumah pengantin lelaki dengan wajah masam. Ketika itu tuai rumah mengenyitkan mata. Aku bangkit daripada duduk sambil membelakangi tuai rumah ke pintu rumah pengantin lelaki. Belum sempat kami duduk di ruang tamu ketika adegan peluk-memeluk kekeluargaan berlangsung dalam keadaan sayu. Mulalah esakan yang akhirnya menjadi tangisan. Kami terpinga-pinga dan ada antara kami yang berpandangan apabila melihat sekeping hati telah robek. Sekeping hati menahan tabah sementara menanti apa khabar yang bakal diterima untuk diharungi.
“Anak! Semuanya bukan seperti yang kita inginkan. Mereka masih percayakan adat sungai. Mereka masih mengakui pemujaan gunung. Mereka masih menadah langit. Mereka masih memegang takhta mainan keturunan yang tembok sempadan itu telah lama pun kebebasan. Mereka masih berlindung pada sehelai daun yang kelihatan oleh orang lain. Biarkan ikatan itu walaupun telah memutuskan anakku!” Seorang tua memeluk pengantin perempuan yang tidak terdaya.
Ketika mereka duduk bersama di sisi keluarga pengantin lelaki, keluarga pengantin lelaki menenangkan besan mereka. Ibu pengantin lelaki memeluk pengantin perempuan. Pelukan itu beralih kepada ibu pengantin perempuan. Katanya, janganlah merentasi sempadan belantara bara itu. Usah bermimpi di dalam kelambu purba. Di sinilah hidupmu, abadi sebagai kami yang berani melangkah melalui cabaran. Tiada sesiapa membuang hidupmu! Ibu pengantin lelaki memeluk erat pengantin perempuan.
Melalui perbezaan ini, aku memahami sempadan keturunan yang penuh amalan. Aku melepaskan sesak nafas. Aku cuba membuang kekeliruan yang bersarang. Aku sejak dua hari lalu digelombangi perkara-perkara berkaitan takhta. Status-status ini telah menjadi gerabak di rumah panjang mereka. Aku leraikan perkara ini dan hari ini serta esok, kata mereka beberapa upacara ritual akan diadakan. Aku memang bertuah kerana berada di tempat yang sepatutnya.
“Nikmatilah suasananya,” ujar tuai rumah kepada aku di hadapan besan barunya yang sudah kelihatan kian tenang dari kesedihan sebentar tadi.
Glosari
Maran Status bangsawan bagi kaum Kiput dan Kenyah. Gelaran ini dianggap tinggi kerana peranan =Maran adalah sebagai pemegang adat dan amalan bangsawan.
dayung Ketua upacara kaum Orang Ulu
ngepan Set penuh pakaian tradisi wanita kaum Iban
Sugu Tinggi Set perhiasan kepala wanita kaum Iban yang berwarna perak dan dipakai sebagai pelengkap pakaian =ngepan.