KUCHING: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menawarkan tiga perkhidmatan bagi membantu semua individu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

AKPK menerusi kenyataan berkata, ia menyediakan khidmat nasihat kewangan, pendidikan kewangan dan khidmat pengurusan kredit iaitu Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK).

"Perkhidmatan ini percuma dan AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Anda hanya perlu layari services.akpk.org.my untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK," katanya.

AKPK mengingatkan individu dan PKS supaya jangan terperdaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran atau caj tambahan.

Jelasnya, AKPK ditubuhkan Bank Negara Malaysia pada 2006 dengan visi untuk menjadi peneraju badan berautoriti dan dipercayai dalam kesejahteraan kewangan seterusnya menyumbang dalam pencapaian matlamat sosioekonomi negara.

"Kami mahu memperkasakan masyarakat isi rumah dan PKS supaya mempunyai tahap kewangan yang kukuh melalui pendidikan, khidmat nasihat kewangan serta khidmat pengurusan kredit yang bertumpukan pelanggan," katanya.

Menurutnya, usahawan perlu mendapatkan pembiayaan sekiranya untuk membantu atau mengekalkan aktiviti perniagaan terutamanya untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

Usahawan boleh mencari institusi kewangan lain yang sesuai dengan perniagaan mereka selain daripada bank konvensional yang terdapat di Malaysia.

Antaranya Institusi Kewangan Perbankan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Rakyat dan Bank Pembangunan.

Mereka juga boleh ke Institusi Kewangan Bukan Perbankan, misalnya Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dan Organisasi Pembangunan Usahawan seperti Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan TEKUN Nasional.

"Bagaimanapun, sebelum anda membuat permohonan pinjaman/pembiayaan kewangan, pastikan pihak pemberi pinjaman/pembiayaan adalah yang berlesen dan berdaftar. Ini kerana terdapat banyak laporan kes penipuan perkhidmatan pinjaman/pembiayaan kewangan, termasuklah yang menggunakan laman media sosial.

"Elakkan daripada menerima bantuan daripada along, iaitu syarikat atau individu yang tidak berlesen dan tidak berdaftar," ujarnya.

Sebagai seorang usahawan, katanya, ilmu untuk membuat pinjaman atau pembiayaan sangat penting.

"Ia bagi memudahkan anda mengetahui apa yang dilihat oleh institusi kewangan untuk meluluskan pinjaman atau pembiayaan anda. Malah, anda juga akan tahu punca mengapa dan kenapa pinjaman anda tidak diluluskan oleh pihak bank," ujarnya.

Kesimpulan katanya, penyata kewangan adalah amat penting bagi memperlihatkan keadaan kewangan dan prestasi sesebuah perniagaan.

"Hal ini adalah kerana ia menentukan kesihatan kewangan perniagaan tersebut malah menjadi tunjang utama untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan," jelas AKPK.

AKPK juga menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan - semuanya tersedia secara dalam talian.

AKPK juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput AKPK untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuk panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnda.