KUALA LUMPUR: Lagu terbaharu artis reggae popular Malaysia, Sasi The Don, Come Follow Me, bukan sahaja menjadi pilihan radio tempatan dan antarabangsa malah turut mendapat lebih 300,000 tontonan di Youtube, hanya dalam masa 10 hari sejak dilancarkan pada 8 Mac.

Single baharu yang diilhamkan daripada perjuangan melawan pandemik COVID-19 itu dihasilkan dengan kerjasama penerbit dan jurutera muzik terkenal Sweden, dan meraih populariti di peringkat antarabangsa terutamanya dari Jamaica, Nigeria dan India.

Dikenali sebagai ‘Duta Reggae Malaysia, Sasi the Don yang nama sebenarnya Sasidharan Chandran  adalah antara artis berpengaruh dalam persada muzik Malaysia selama 22 tahun.

Sasidharan berkata beliau amat sedih melihat orang ramai, terutamanya golongan muda bergelut dengan kesukaran akibat pandemik itu.

"Dengan bantuan rakan baik saya, Come Follow Me menjadi pilihan terbaik buat mereka yang memerlukan ruang selamat untuk mendapatkan inspirasi, motivasi dan semangat juang meskipun menghadapi cabaran dalam hidup kita," kata Sasidharan dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Lagu Come Follow Me yang rancak dan hidup sering diputar saluran radio Malaysia seperti HITZ.fm dan Fly.fm serta stesen radio antarabangsa seperti Radio Jamaica dan SUNCITY 104.9 FM, malah sering mendapat permintaan ramai. 

"Dengan pelancaran lagu baharu itu, penyedia perkhidmatan digital terkemuka Malaysia, Digi Telecommunications memutuskan untuk menjadi penaja bagi pelancaran dan pemasaran lagu itu,"  menurut kenyataan itu.

Come Follow Me kini tersedia di semua platform penstriman muzik, termasuk YouTube dan Spotify. Tonton Sasi di HITZ.fm, Fly.fm dan stesen radio lain. Video muzik Come Follow Me boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=MLF8yl1PeS8. - BERNAMA