Oleh Lokman Hakim

BAGAIMANA jika pengarang tidak lagi menyandarkan identitinya pada negeri asal-usulnya? Keunikan seorang pengarang dicorakkan oleh kehidupannya yang merangkumi pengalaman dan bahan bacaannya. Dalam erti kata lain, tempat asal-usulnya juga mungkin memberi karakter pada landskap penceritaannya. Membaca cerpen “Sang Perahsia” membuatkan kita percaya bahawa Zakaria Ali tidak sekadar melancong ke Mexico tetapi turut merasai nadi masyarakat di sana. Namun Zakaria Ali bukan berasal dari Mexico. Tiada bau negeri asalnya dalam cerpen itu.
     Pada era globalisasi sudah klise ini, seorang pengarang berkemungkinan mampu menanggalkan asal-usulnya daripada karya-karyanya. Perkara ini bukan suatu dosa, bahkan patut dilihat selaku suatu percubaan untuk meneroka sudut baharu penceritaan. Seorang penulis Asia yang mahu menulis sebuah thriller bertempat di Amerika Syarikat tidak wajar diperlekeh – tetapi semestinya penulis itu harus memiliki alasan dan rujukan kukuh untuk mengarang karya sebegitu rupa.
     Pengarang Sarawak sering diperlihatkan punya kecenderungan mengarang sesuatu berasaskan elemen kearifan tempatan. Babak di rumah panjang. Selingan bahasa-bahasa sukuan. Pertembungan antara tradisi zaman berzaman dengan urbanisasi. Sesekali diselitkan naratif perjuangan menentang anasir Barat yang dilihat bercanggahan dengan nilai masyarakat setempat. Tiada salah pun mengelompokkan pengarang Sarawak dengan identiti sebegini. Namun kadangkala pengarang harus meneroka teritori luar yang lebih rawak demi harga sebuah kesegaran pengkaryaan.
     Menyisihkan Sarawak keluar daripada identiti pengarang dari Sarawak barangkali suatu perbuatan absurd dan tidak perlu. Namun begitu, pengarang Sarawak agak terbelenggu dengan kecenderungan mengarang sesuatu yang bertunjangkan kearifan tempatan melebihi segala-galanya. Tidakkah sesebuah fiksyen harus digarap berlandaskan kepercayaan bahawa hasilnya harus enak dicipta dan juga lazat apabila dibaca?
     Sebelum pergi lebih lanjut pada persoalan ini, wajarlah kenyataan pengarang Sarawak ‘terbelenggu’ ini harus direnung semula. Belenggu yang dimaksudkan wajar diperbaharui konteksnya adalah dari segi penelitian terhadap apa yang dituliskan dan apa yang diinginkan masyarakat pembaca antarabangsa. Semestinya prospek penting untuk kemajuan komuniti sastera Sarawak adalah pengembangan capaian pembaca bukan sekadar di seluruh Malaysia, tetapi juga dalam komuniti pembaca antarabangsa. Dan pengembangan capaian pembaca antarabangsa ini menuntut suatu tema yang global di samping teknik pengkaryaan yang segar di mata penggiat sastera dunia. Memandangkan sastera Malaysia belum begitu ligat diterjemahkan dan disebarkan ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa, wajarlah kita beranggapan bahawa sastera kita masih memerlukan rombakan menyeluruh terhadap sistem sedia ada supaya kita tidak ketinggalan dalam mengetengahkan bakat-bakat sasterawan tempatan.
     Sebelum beranggapan sebegitu, eloklah jika ditelusuri dahulu sifatnya sastera Malaysia itu. Siapakah yang diangkat dan disebut-sebut oleh komuniti sastera tempatan mutakhir ini? Bagaimana seseorang pengarang itu mendapat tempat di hati komuniti sastera? Lazimnya karya-karya yang bagus merupakan pemula untuk seorang pengarang baharu beroleh tempat dalam ranah sastera tempatan. Tiada politik atau favoritisme. Seorang pengarang muda boleh cuba menghantar karya ke Tunas Cipta selaku pemula dan diterbitkan tanpa prejudis. Bahkan Berita Harian juga menerima cerpen-cerpen yang berkualiti tanpa mengira usia dan latar belakang pengarang. Perkara ini merupakan suatu permulaan yang baik untuk pengarang baharu. Dalam dunia penerbitan tempatan pula, pengarang yang pintar memanfaatkan media sosial dalam penjenamaan diri mudah meningkat naik namanya sehingga membuka ruang penerbitan yang luas.
     Sastera Sarawak tidak pernah ketandusan pengarang pelapis. Di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, pengarang-pengarang Sarawak sudah mendapat ruang penerbitan baik dalam bentuk buku persendirian mahupun karya eceran. Esei, puisi dan cerpen pengarang-pengarang Sarawak merentasi medium penyiaran di dalam dan di luar negeri Sarawak. Tidak janggal menemukan karya pengarang Sarawak dalam Berita Harian, Mingguan Malaysia, Selangorkini dan juga majalah-majalah bulanan terbitan DBP saban bulan.
     Pada peringkat antarabangsa pula, Sarawak ada penyair Abizai, penerima anugerah S.E.A Write 2017 dan novelis Jong Chian Lai, penerima anugerah S.E.A Write 2006. Kumpulan puisi Tell Me, Kenyalang tulisan Kulleh Grasi disenarai pendek untuk anugerah buku terjemahan terbaik Amerika. Golda Mowe, pengarang dari Sibu, Sarawak telah menerbitkan novel The Monk Prince di bawah penerbit antarabangsa, Penguin Random House SEA. Baik dalam kalangan pengarang yang menggunakan perantaraan bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris dalam karya-karyanya, masing-masing menampakkan usaha untuk mengangkat kearifan tempatan sebagai tema unik yang mencerminkan identiti kepengarangan Sarawak.
     Justeru, jika mahu melihat ruang untuk pembaikan dari segi sastera Sarawak selaku komuniti, hakikatnya perkara ini hampir sempurna. Selain daripada itu, kita boleh lihat pula dari aspek pembinaan sastera dalam bahasa sukuan. Sastera Sarawak kelihatannya tidak begitu bersungguh-sungguh dalam usaha menyelamatkan bahasa-bahasa sukuan dengan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai medium utama penyampaian karya-karya sastera. Kita akan menemui perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa-bahasa sukuan ini dalam karya-karya yang ditulis dengan bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi adakah memadai? Adakah ini sesuatu yang baik atau sebaliknya? Meskipun begitu, kita dapat melihat usaha pengarang-pengarang Sarawak yang masih giat memperkukuh status bahasa sukuan dengan menulis dalam bahasa tersebut secara mandiri. Harry Usup Umbar misalnya, telah menulis novel berbahasa Iban berjudul Dayak, Iban Sarawak. Namun bagaimana dengan bahasa-bahasa sukuan yang lain? Saya ingin melihat sebuah novel yang ditulis dalam bahasa Melanau, misalnya. Karya-karya sukuan yang ditulis lebih mudah bertahan diuji zaman berbanding sekadar diturunkan secara lisan. Usaha untuk mengangkat bahasa-bahasa sukuan ini menuntut usaha penterjemahan yang galak dan semestinya menuntut pembinaan khalayak pembaca dalam kalangan penutur bahasa-bahasa sukuan itu. Sayangnya hal ini tidak lagi praktikal untuk diusahakan memandangkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar utama yang berhasil dalam menyampaikan maklumat dalam kalangan rakyat Malaysia secara tuntas.

 

     Bagaimana pula dari aspek pembinaan kepengarangan secara mandiri? Lazimnya, seorang pengarang harus pada mulanya membaca karya-karya yang bagus. Bagus dari erti kata kualitinya dan juga penerapan nilai-nilai kepengarangan yang baik. Oleh yang demikian, sebagai komuniti sastera – pengarang-pengarang Sarawak yang mapan boleh menyenaraikan karya-karya bermutu selaku rujukan dan panduan pengarang-pengarang muda. Walaupun begitu, bersama-sama penyenaraian ini harus diiringi sesi bedah karya yang kritis – iaitu aspek penting karya yang membentuk kualiti dan kekuatan karya dibincangkan. Di samping itu, sesi perbincangan juga boleh meliputi kaedah pengadaptasian teknik mengarang yang digunakan dalam karya-karya agung yang dibincangkan supaya boleh digunapakai secara kreatif oleh pengarang-pengarang baharu. Persatuan-persatuan penulis di Sarawak sudah tentu mempunyai kemampuan untuk merencana bedah karya sebegini.
     Melihat komuniti sastera selaku gerbang peluang untuk pengarang mencari peluang berkarya adalah suatu hal yang penting. Saya melihat bagaimana komuniti MYWriters menyenaraikan peluang demi peluang penerbitan di luar negara yang dikongsikan oleh beberapa orang pengarang yang sudah sekian lama bermain di persada sastera antarabangsa. Pengarang Sarawak tidak lagi wajar sekadar berpuas hati dengan mempunyai sejumlah besar karya yang diterbitkan di dalam negara. Kita sedia maklum mengenai masalah besar pengarang di negara ini yang tidak mampu menjana pendapatan bermaruah daripada penulisannya sendiri demi menampung hidup. Meluaskan komuniti pembaca merupakan salah satu cara untuk pengarang Sarawak beroleh pendapatan setimpal dengan usahanya mengarang.
     Realitinya dalam mana-mana landskap sastera di mana-mana negara dan negeri, kelompok pengarang boleh terbahagi kepada tiga, yakni mereka yang percaya kepada peranan organisasi selaku penggerak ekonomi penggiat sastera, mereka yang percaya bahawa hanya pengarang yang layak menentukan takdirnya sebagai seorang sasterawan dan yang terakhir ialah mereka yang percaya pada peranan organisasi dan keperluan pengarang menentukan hala tujunya sendiri. Selaku pengarang yang mahu memastikan karier kepengarangannya berlanjutan lama, dia harus pandai membaca landskap sastera tempatan.
     Sekian lamanya DBP memainkan peranan penting dalam mengangkat para penggiat sastera. Komuniti sastera di Sarawak dibantu dari segi penyediaan ruang berkarya dan berwacana yang dilihat sangat berkesan dalam memupuk semangat pengarang. Namun dukungan ini cenderung memberi ilusi kepada kelompok pengarang seolah-olah dirinya sudah cukup menyumbangkan karya yang banyak meskipun sekadar berlegar di ruang penerbitan yang agak kerdil. Oleh demikian, pengarang yang melibatkan diri dalam kelompok sebegini wajar merenung kembali pencapaiannya. Persatuan-persatuan penulis di Sarawak seperti PEKASA, PUTERA dan PENULIS boleh menjadi platform penyampaian maklumat untuk para pengarang mencuba nasibnya di ranah sastera yang lebih luas cakupan pembacanya.
     Saya melihat peranan persatuan-persatuan penulis dan DBP sudah dijalankan sewajarnya. Yang kurang hanyalah keazaman para pengarang itu sendiri dalam menghasilkan karya bermutu tinggi. Namun adakah beban tanggungjawab ini bergantung pada pengarang semata-mata? 
     Persekitaran yang dilalui seorang pengarang menentukan kemampuannya untuk mengarang karya yang sarat emosi dan mempunyai empati yang tinggi. Pramoedya Ananta Toer menulis novel-novel sejarah yang terbaik dalam karier penulisannya sewaktu dipenjara di Pulau Buru. Sewaktu di penjara, beliau tidak dibenarkan memiliki hatta sebatang pensel untuk menulis. Beliau terpaksa menyampaikan ceritanya kepada banduan-banduan lain. Dengan bantuan para banduan yang mengambil alih bebanan kerjanya di penjara, akhirnya beliau berhasil menyiapkan novel-novel itu dan menerbitkannya sesudah dibebaskan. Stephen King, yang dikenali selaku seorang novelis seram yang begitu prolifik melalui detik-detik sukar sebelum novelnya yang berjudul Carrie, dijual hak penerbitannya kepada Signet Books. Beliau dan isteri melalui pelbagai musibah sebelum menjadi seorang novelis tersohor di peringkat global. Stephen King pada awalnya pernah bekerja sebagai atendan pam di stesen minyak, tukang cuci dan juga guru subjek Inggeris di Maine sambil berusaha menembusi pasaran dunia buku dengan karya-karya awalnya. 
     Persoalannya kini adalah sejauh mana pentingnya pengalaman dan kesusahan itu dalam mencorak gaya kepengarangan?
     Semestinya kita tidak perlu menyumbat pengarang kita ke dalam penjara demi beroleh pengalaman dan sentuhan empati yang tinggi dalam karya. Kita juga tidak perlu menjerumuskan pengarang kita dalam situasi hidup mati demi memastikan mereka sentiasa beroleh makanan yang cukup saban hari hanya kerana mahukan mereka merasai kesusahan yang mungkin boleh diterjemahkan ke dalam penghasilan karya sastera yang bermutu tinggi. 
     Mutakhir ini, negara dilanda wabak yang disusuli oleh krisis ketidakstabilan politik. Keadaan ini ditambah pula oleh krisis ekonomi yang seolah-olah tidak terbendung masalah kenaikan harga barang-barang keperluan. Dalam erti kata lain, rakyat negara ini sedang melalui tempoh waktu yang sukar dan pastilah para pengarang juga tidak terkecuali daripada merasai jerih dan kepayahan menjalani kehidupan seharian. Kepayahan itu akan diterjemah ke dalam karya yang ditulis seandainya pengarang kita memberi perhatian dan merenung jauh ke dasar derita masyarakat. Dan usaha ini menuntut suatu tempoh agar pengarang berupaya menggauli pengalaman dengan daya kreatifnya untuk menghasilkan sebuah karya sastera yang matang garapannya.
     Oleh yang demikian, berbalik kepada persoalan awal tadi – wajarkah pengarang Sarawak menyingkir keluar identiti negerinya itu daripada kepengarangan? Mustahil. Melainkan pengarang itu tidak pernah merasai kehidupan di negeri Sarawak. Namun tidaklah wajar pengarang sebegitu diasosiasikan dengan Sarawak kerana pastilah dia punya pembawaan latar kehidupan yang lain dalam karya-karyanya. Menulis karya bertemakan kearifan tempatan bukanlah suatu dosa dalam dunia kepengarangan. Yang harus diperhatikan ialah bagaimana karya itu digarap. Kita tidak mahu melahirkan seratus orang penyair seperti Abizai. Kita juga tidak mahukan seratus orang eseis dengan gaya Abang Patdeli Abang Muhi yang tajam pandangan dan luas pengetahuannya. Bukan juga kemahuan kita untuk membina berpuluh-puluh cerpenis yang punya suara kepengarangan persis Roslan Jomel. Yang kita mahu ialah deretan pengkarya Sarawak yang menulis dari kaca mata peribadi yang berbeza dan unik antara satu sama lain. Di samping itu, kita juga mahukan deretan pengkarya yang tidak mudah lalai dibuai pujian demi pujian terhadap karya yang dihasilkan sehingga menenggelamkan ruang pembaikan untuk menghasilkan karya-karya yang lebih kuat pada masa akan datang.
     Pengarang Sarawak tidak perlu menyisihkan identitinya selaku pengarang Sarawak untuk menjadi sasterawan hebat. Yang diperlukan hanyalah iltizam kendiri untuk menjadi seorang pengarang yang mengutamakan kualiti dalam karya yang setanding dengan karya-karya pengarang negeri lain, baik di peringkat lokal mahupun global. Adakah pengarang Sarawak mampu menembusi pasaran global secara meluas pada masa akan datang? Tentu sekali perkara ini tidak mustahil andai negara kita menyediakan ekosistem kepengarangan yang sihat.