Oleh Tey Marzuki
HARI pertama Ramadan pada tahun itu merupakan hari bersejarah buat seorang yang bernama Arman. Semuanya berubah, hampir 180 darjah. Dan Arman tidak pernah menyangka bahawa takdir Tuhan membawanya ke situ. Ke tempat yang tidak pernah dia jejaki sejak usianya tambah dewasa.
Segalanya bermula tatkala tarikh berbuka puasa diumumkan pada waktu malam menjelang Ramadan. Arman, seperti biasa tiada reaksi saat mendengarnya. Berbeza sekali dengan ahli keluarga yang sudah bersorak kegembiraan. Menerima kedatangan Ramadan dengan hati penuh suka kerana pada bulan penuh mulia itulah peluang umat Islam untuk mengumpul pahala.
Bagi Arman, tiada apa-apa yang berbeza antara bulan-bulan yang lain, dengan bulan Ramadan. Sama sahaja, tidak ada yang mengujakan. Malah, seperti tahun-tahun sudah dia tidak pernah mengerjakan ibadah puasa. Dia tidak peduli walau berjuta nasihat diberikan kepadanya.
“Dah lama rasanya kita tak rasa kemeriahan bulan Ramadan seperti sebelum ni. Bolehlah kita ramai-ramai ke surau berbuka puasa di sana nanti.”
Suara Mak Temah bersulam suka dan sayu. Hati tuanya begitu merindukan suasana meriah bulan Ramadan yang dipenuhi ibadah. Sudah dua tahun lamanya dia tidak dapat mengecapi manisnya bertadarus al-Quran bersama-sama jiran sekampung pada waktu pagi, memasak lauk-pauk berbuka puasa untuk jemaah di surau dan berjemaah tarawih pada waktu malam. Kata-kata Mak Temah tadi disambut angguk setuju anak-anak yang lain dengan wajah penuh teruja. Masing-masing bersepakat mahu sama-sama menambah pahala di bulan mulia itu nanti. Sementelah kerajaan telah memberi kelonggaran kepada rakyat untuk mengerjakan ibadah tanpa sekatan.
“Tak sabar rasanya tunggu esok hari. Dah lama kita tak ke bazar, kan mak?”
Arman yang tadinya khusyuk benar menonton rancangan hiburan, langsung terbejat fokusnya tatkala pendengarannya menangkap suara kakak yang menyebut bazar Ramadan. Senyuman penuh makna mula bergaris di bibir Arman. Dalam kepalanya, terbayang pelbagai juadah yang bakal tersedia. Biarpun tidak berpuasa, dia tidak mahu ketinggalan menikmati hidangan berbuka. Kini, dia pula yang tidak sabar-sabar menunggu esok hari.
“Api! Api!”
Arman yang masih nyenyak tidur langsung terjaga. Suara pekikan yang kedengaran dari luar kamar membuatkan dia bingkas dari katil lalu bergegas keluar. Arman terpaku. Di dapur, suasana menjadi kacau-bilau. Gamat dengan suara ahli keluarga yang sedang terkocoh-kocoh memindah keluar barang-barang dari dapur yang sedang dibakar api. Beberapa orang jiran turut ada di situ membantu memadamkan api yang mula marak.
“Arman! Kenapa kamu tercegat di situ? Tolong padamkan api, cepat!”
Arman yang masih termangu-mangu segera bertindak. Dia mencapai apa saja bekas yang ada di depan mata lalu membantu memadamkan api.
Setelah beberapa ketika, akhirnya api berjaya dipadamkan. Suasana di persekitaran bertambah riuh dengan kedatangan orang-orang kampung yang menyaksikan kejadian yang menimpa keluarga Arman.
Arman terduduk di laluan berasfalt di hadapan rumahnya, melepaskan kepenatan usai memadamkan api. Dia termengah-mengah selajur meraup muka yang kebasahan keringat sambil mulutnya berkumat-kamit meluahkan keluhan. Betapa pada malam menjelang Ramadan, dia dan keluarganya hampir ditimpa bencana.
Dalam pada dia meladeni lelah, tiba-tiba ada tangan yang menghulurkan sebotol minuman.
Arman melangut, melihat kelibat seorang pemuda dalam lingkungan usia sebaya, tersenyum menghulurkan sebotol air mineral kepadanya. Arman menyambut tanpa mengucapkan terima kasih, sementara si pemuda masih tidak lekang manis pada wajahnya lalu duduk berlabuh di sebelah Arman. Dia memperkenalkan dirinya dengan nama Syukri. Dari sekilas pandang, Arman dapat melihat debu-debu jelaga di muka Syukri. Pasti pemuda itu turut membantu menghalang marak api di dapur tadi.
Mereka berdua hanya berdiam di situ, tidak saling bertukar bicara. Hanya sahaja ketika kedengaran penggera dari jam tangan yang dipakai Syukri barulah sepi di antara mereka terpecah jua.
“Dah masuk waktu sahur. Apa kata kita semua bersahur di surau? Hari ini, giliran mak aku yang sediakan makanan untuk jemaah di sana. Lepas bersahur, bolehlah kita sama-sama solat subuh.”
Terjungkit kening Arman saat menerima pelawaan itu. Namun lekas-lekas dia menolaknya.
“Eh, tak apalah. Aku boleh minum air aje. Lagipun barang-barang di rumah tu perlu dikemas. Esok dah puasa, takut penat pula.” Tertahan-tahan dia memberikan kata alasan. Dia bangun dari duduknya dan sudah berkira-kira hendak beransur.
“Jangan risau, lepas ni aku tolong kau kemaskan. Jom.”
Tanpa menunggu kata balas daripada Arman, Syukri menarik tangannya, menggamit dia untuk mengikut. Arman tergaru-garu kepala sendiri yang tidak gatal. Hendak menolak, dia sudah kehilangan kata-kata. Tambahan pula Syukri turut membantu memadamkan kebakaran yang berlaku di rumahnya tadi. Jadi dia berasa tidak enak sekiranya dia bersikap keras kepada pemuda tersebut.
“Alhamdulillah, sejuk hati mak tengok kau di surau subuh tadi.”
Arman menghempas nafas sebal. Sejak awal pagi, membawa ke tengah hari tidak putus-putus Mak Temah mengungkit cerita ketika di surau. Dia bahkan menjadi bahan usikan adik-beradik yang lain. Dalam hati, dia membebel-bebel memarahi dirinya sendiri yang mengalah saja kepada ajakan pemuda yang membawanya ke surau awal pagi tadi. Jika dia tahu yang dia bakal menerima usikan, dia pastinya menolak dengan keras. Tambah menjengkelkan, sejak tadi dia tidak dapat makan dan minum. Kerana kebakaran yang berlaku di dapur, elektrik dan bekalan air di rumahnya terpaksa ditutup buat sementara sehingga semuanya selamat.
“Arman bersahur dan solat subuh pagi tadi. Ni tak nampak lagi dia berbuka puasa. Nampaknya tak lama lagi hujan emas dah nak turun.”
“Hish, kamu ni! Janganlah diusik adik kamu tu. Patutnya kamu doakan yang terbaik untuknya.”
Arman bangun dari sofa, terus melangkah keluar dari rumah. Hatinya rengsa hendak melayan usikan adik-beradik di rumah. Lebih baik dia berjalan-jalan mengambil angin di luar. Sambil singgah ke kedai membeli makanan ringan bagi mengalas perut yang sudah mula menjeritkan lagu keroncong.
Arman keluar dari kedai runcit dengan menjinjing plastik berisi setin minuman ringan dan sebungkus roti manis. Tauke yang berjaga di kedai runcit itu tidak pula bertanya apabila dia meminta barang-barang yang dibelinya dibungkus dalam plastik berwarna gelap.
Perut yang semakin berkeroncong membuatkan langkahnya semakin melaju. Mulanya dia berniat hendak ke jeram di hujung kampung yang menjadi “markas” buat mereka yang tidak berpuasa. Akan tetapi rasa lapar yang memeritkan memaksa Arman mengubah haluan. Dia memilih untuk mencari “port” yang lebih dekat, di sungai yang letaknya tidak berapa jauh dari keberadaannya. Arman menghenyakkan punggung dengan hembus nafas lega. Dia bersiul-siul girang sambil membuka plastik gelap yang dibawa dari kedai runcit tadi.
“Tolong! Tolong!”
Arman tersentak. Suara pekikan itu kedengaran berdekatan sahaja dengannya. Dia menoleh-noleh, mencari arah datangnya suara.
Nun beberapa meter dari tempat duduk, dia melihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki yang sedang terkapai-kapai di tengah sungai. Beberapa orang rakannya hanya mampu melihat di tebing, kaku tidak bisa berbuat apa-apa kerana terkejut. Tanpa membuang masa, Arman melempar tepi bungkusan makanannya lalu bergegas terjun ke dalam sungai. Dengan pantas, dia berenang menghampiri kanak-kanak lelaki tadi yang sudah hampir lemas.
Sebaik sahaja dia mendekat, Arman menyauk kanak-kanak itu dan berbekalkan kudrat yang ada, membawanya ke tebing.
“Ke tepi! Ke tepi!”
Arman mengarahkan teman-teman budak lelaki lemas yang sudah mula mengerumuninya agar minggir. Dia memeriksa keadaan budak lelaki tersebut yang sepertinya sudah tidak sedarkan diri. Dia menepuk-nepuk pipi kanak-kanak itu sambil memanggil-manggilnya. Akan tetapi tetap tiada sebarang respons. Arman menelan air liur. Jujur, dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi menyelamatkan kanak-kanak itu. Tubuhnya kelihatan memucat dan Arman semakin runsing. Dia menoleh-noleh sekeliling. Tatkala itu juga dia terpandang seseorang yang sedang menaiki motosikal menuju ke arah mereka. Pantas Arman melambai-lambai ke arahnya dan apabila pemandu itu memberhentikan motosikal, barulah Arman sedar siapa orangnya.
Syukri, pemuda yang membawa dia ke surau pagi tadi.
“Ada apa?”
“Ada budak lemas di sungai tadi. Aku... Aku tak tahu macam mana nak selamatkan dia.”
Mendengar sahaja kata-kata Arman, Syukri langsung mematikan motosikalnya lalu berlari menuju ke arah budak lelaki yang masih terbaring kaku. Dia menghalakan telinganya pada mulut kanak-kanak itu, kemudian mengambil pergelangan tangannya bagi merasa nadi kanak-kanak tersebut.
“Dia masih bernafas.”
“Tapi dia masih tak sedarkan diri. Mukanya pun dah makin pucat.”
Syukri bergegas mencuba memberikan bantuan pernafasan. Beberapa kali dia melakukannya tanpa putus asa sehingga budak lelaki yang tadi tidak sedarkan diri akhirnya terjaga lalu terbatuk-batuk memuntahkan air.
“Syukur Alhamdulillah.”
Syukri menepuk-nepuk belakang kanak-kanak malang dan melurut belakang badannya. Arman turut menghela nafas syukur. Mujur Syukri datang tepat pada masanya. Jika tidak, dia juga tidak tahu harus berbuat apa dan barangkali nyawa kanak-kanak yang lemas tadi dalam bahaya. Mereka berdua membawa kanak-kanak malang tadi pulang ke rumahnya. Ibunya yang baru mendapat khabar berita berteriak dengan lara yang penuh di pipi. Tidak putus-putus dia menyatakan rasa syukur dan terima kasihnya kepada mereka berdua yang telah menyelamatkan anaknya.
“Marilah aku hantarkan kau balik.”
“Eh, tak apa. Aku boleh jalan kaki. Lagipun baju aku basah ni. Kau pula nak ke surau, kan? Nanti tak pasal-pasal baju kau pula yang kotor.”
Belum sempat Syukri membalas, Arman sudah mengangkat kaki. Dia tidak mahu berlama-lama di situ, bimbang pemuda itu mahu mengajaknya ke surau lagi.
Petang menjelang. Tubuh Arman semakin lesu. Setiap kali dia hendak menjamah sesuatu, ada saja perkara yang menghalang. Gelas terlepas dari tangan, makanan yang hendak dipanaskan hangus, satu-satunya sosej yang tinggal dibawa lari kucing yang kelaparan dan macam-macam lagi rintangan. Seolah-olah ada satu kuasa yang memaksa Arman berpuasa pada hari itu.
Tapi Arman tidak mahu menyerah. Dia bangun dari perbaringan. Dia teringat akan pokok mangga di belakang rumahnya. Dia berniat mahu mengait barang sebiji dua. Bolehlah dibuat mengisi perutnya yang lapar.
Arman ke belakang rumah. Dia mencapai galah yang disandarkan pada batang pohon mangga dan mula mengaitnya. Sayang, hanya ada sebiji sahaja yang benar-benar ranum dari sekian banyak buah yang ada. Yang lainnya sudah busuk atau dimakan tupai.
“Bolehlah daripada tak ada.” Arman membawa buah mangga yang dikaitnya itu pulang ke rumah. Dia sudah tak sabar-sabar lagi hendak menjamahnya dengan perut yang semakin lapar.
“Assalamualaikum.”
Arman menoleh.
Seorang lelaki dan seorang wanita hamil datang menghampirinya.
“Maaf, kalau permintaan saya ni berlebihan. Isteri saya dah seminggu mengidam nak makan buah mangga. Dah satu kampung kami pusing, tapi sebiji pun kami tak jumpa. Kalau saudara tak keberatan, boleh tak kalau saudara jualkan mangga tu kepada saya?”
Arman terpaku. Dia mengalihkan pandangannya kepada wanita hamil yang berdiri di sisi suami. Wanita itu membalasnya dengan renungan berisi harapan. Besar hasratnya agar Arman mahu menunaikan hajatnya itu. Rasa buah mangga yang ranum di tangan Arman sudah ada di hujung lidah membuatkan semangatnya semakin membuak-buak.
Entah kenapa, Arman tidak sampai hati pula hendak mengecewakan harapan wanita hamil itu. Dia menghulurkan satu-satunya buah mangga yang ada kepada pasangan suami isteri tersebut dan memberikannya tanpa sebarang bayaran.
“Alhamdulillah. Terima kasih, saudara. Semoga bulan Ramadan tahun ini memberi rahmat kepada saudara.”
Arman mengangguk sahaja terhadap kata-kata doa pasangan suami isteri itu dan melihat kedua-duanya beransur, pulang dengan wajah penuh kegembiraan.
Sementara perut Arman pula semakin memerih. Dia pasrah. Jam sudah mula menghampiri waktu berbuka puasa. Arman terduduk di sofa. Lemah menunggu tiba masa berbuka. Dia tidak lagi mahu menghalang arus, menerima sahaja realiti bahawa pada hari itu dia terpaksa akur untuk berpuasa.
“Arman, cepat mandi. Ikut berbuka di surau.”
“Alah, mak. Tak boleh ke berbuka di rumah? Bomba kan dah bagitahu dapur tu selamat digunakan.”
“Mak dan kakak kau penat mengemas hari ni Arman. Tak sempat nak masak makanan berbuka. Lagipun, dekat surau ada yang tengah tunggu kau.”
“Tak apalah mak. Arman tinggal di rumah aje. Nanti mak bawakan makanan balik, ye?”
“Hish, budak ni! Sudah! Pergi mandi dan bersiap lekas!”
Arman menelan air liur. Dia sudah terbayang muka senyum pemuda surau. Terngiang-ngiang pula suara usikan mereka yang pasti akan mengejeknya kerana dia pernah menjejakkan kaki ke situ. Pun begitu dia tidak mampu membantah. Badannya yang melemah membuatkan dia tidak bertenaga hendak membangkang kata-kata ibunya. Kalau pada hari biasa, pasti sudah terjadi pertelagahan.
Dia akur, lalu membawa diri ke bilik mandi dan bersiap-siap.
Arman terpaku. Apa yang dia bayangkan ternyata meleset. Setibanya dia di surau, Arman disambut dengan mesra sekali. Tidak putus-putus orang datang mahu bersalaman dengannya seolah-olah dia seorang selebriti. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa begitu sekali layanan yang diterima. Bahkan untuk berbuka puasa, juadah yang ada banyak sekali. Beraneka jenis. Dari kuih-muih sehinggalah kepada bermacam-macam lauk-pauk.
“Dengarnya, keluarga budak lelaki yang kau selamatkan tengah hari tadi yang sedekahkan juadah berbuka ini semua. Sebagai tanda kesyukuran.”
Kata-kata Syukri yang duduk berbuka bersama-samanya membuatkan Arman tambah terkelu.
Azan maghrib berkumandang. Panggilan Ilahi itu kedengaran syahdu sekali. Seolah-olah menyahut kerinduan hamba-Nya yang sudah lama tidak bertandang ke rumah Allah untuk meramaikannya. Setelah berbuka ala kadar dengan sebiji kurma dan segelas air, para jemaah surau mula bergerak ke bahagian dalam bagi mengerjakan fardu maghrib.
“Kenapa kau berdiri di situ? Masuklah.” Syukri menggamit Arman ketika melihatnya termangu-mangu di depan pintu.
“Aku… aku… tak pandai solat.”
Mendengarnya, Syukri tersenyum. Dia menghampiri Arman dan menepuk-nepuk bahu teman barunya itu.
“Tak apa. Kau ikut saja aku di sebelah, ya?”
Buat pertama kalinya Arman mengangkat takbiratul ihram setelah sekian lama tidak pernah bersolat. Satu perasaan mula menjalari hatinya tatkala bibir itu mengucap kebesaran Yang Maha Esa. Rasa itu menyeluruh sehingga ke sanubari, ibarat air yang mula menakungi tanah yang kering. Mukanya terasa panas. Pelupuk matanya mula bergenangan, lantas tanpa dapat ditahan-tahan menumpahkan titisan lara yang membanjiri pipi. Bahunya terhinggut-hinggut sementara dia melepaskan segala rasa yang bertakungan dalam jiwa ketika menghadap Yang Maha Esa.
“Kau okay?” Syukri mengajukan tanya, setelah beberapa ketika memberikan ruang kepada Arman.
Arman mengangguk perlahan.
“Aku malu pada Tuhan. Selama ini aku selalu bersangka buruk. Aku fikir Tuhan pasti tak mahu menerima manusia berdosa macam aku. Aku selalu anggap mereka yang baik-baik mesti memperkecil-kecilkan orang jahil macam aku. Tapi aku salah. Hari ini, Tuhan buka mata aku seluas-luasnya. Aku masih diterima.”
“Allah sayangkan kau, Arman. Kerana itu Dia bawa kau kembali ke jalan-Nya. Pada hari yang penuh kemuliaan.”
Arman mengangguk laju pada bicara Syukri. Dia mengerti. Itulah teguran Tuhan kepadanya. Teguran dalam hikmah yang tersembunyi, yang kini jelas dan nyata di depan mata. Bahawa Allah tidak pernah sekali-kali meninggalkan hamba-Nya. Allah sentiasa, ada.