Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperakukan pelanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan tamat kontrak pada tahun ini. 

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 26 dan 28 Januari lepas bersetuju meluluskan pelantikan semula secara kontrak 1,243 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, melibatkan graduan Institut Latihan KKM yang tamat kontrak pada 2 Febuari. 

“Pemakluman mengenai pelanjutan kontrak ini telah pun dimaklumkan kepada Ketua Jabatan. Tawaran pelanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak dalam tahun 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya. 

Mohd Shafiq berkata pelanjutan kontrak ini dibuat mengambil kira situasi negara dalam peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat pandemik COVID-19. 

Merujuk kepada artikel disiarkan sebuah akhbar kelmarin bertajuk “Giliran Penolong Pegawai Perubatan Mogok Esok?”, beliau berkata KKM menghargai peranan penting Penolong Pegawai Perubatan di KKM bersama barisan hadapan lain khususnya dalam menangani pandemik. - BERNAMA