Muhyiddin semasa melancarkan Jualan Prihatin Rakyat di Dataran FAMA Pagoh Jaya. -Gambar Bernama

MUAR: Kesetiaan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) tidak perlu dipertikaikan memandangkan parti itu telah bersama Bersatu dalam perikatan tersebut sejak awal lagi, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keberadaan PAS sejak awal bersama Bersatu dalam PN adalah bukti sebelum kemudiannya disertai Parti Gerakan.

"PAS adalah antara parti pengasas (dalam PN) yang sehingga hari ini masih kekal, jadi jangan dipertikaikan, jangan dipersoalkan kesetiaan dan istiqamah PAS bersama (PN).

"Kami (juga) baru selesai mengadakan muzakarah (bersama PAS) dan kami dah bentang resolusi dan sebagainya serta total komitmen parti-parti dalam PN," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Prihatin Rakyat di Dataran FAMA Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian dan kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini sama ada bersama PN atau dalam Muafakat Nasional (MN). 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pendirian PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah jelas dengan parti-parti di bawah PN telah pun muktamad untuk bertanding di bawah tiket PN.

"Di Johor tidak begitu, itu (pendirian PAS) dah dimuktamadkan, bermakna kami sudah tetapkan kerusi-kerusi yang kami bertanding atas nama PN. Kami tak sebut PAS atau Gerakan. Kami tahu siapa musuh kami, siapa yang harus kami hadapi, itu dah selesai, tiada isu berbangkit dalam kalangan kami," kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Berhubung pengagihan kerusi antara Bersatu, PAS dan Gerakan, Muhyiddin berkata ia akan dimukmadkan menjelang hujung minggu ini.

Sementara itu, beliau berkata Jualan Prihatin Rakyat tersebut akan turut diperluaskan kepada empat atau kawasan lain di negeri itu tidak lama lagi dalam usaha PN untuk membantu meringankan beban rakyat.

Jualan tersebut yang menawarkan sepapan telur, seekor ayam dan beras lima kilogram dengan harga RM20 sahaja, boleh didapati menerusi belian terus dan pandu lalu di beberapa lokasi terpilih. - BERNAMA