KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu 826 premis judi dalam talian di seluruh negara dalam Op Dadu Khas sejak 15 Januari sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata dalam tempoh berkenaan juga pihaknya telah menahan 1,355 individu terdiri daripada penjaga premis dan pemain.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 2,558 komputer riba dan wang tunai berjumlah kira-kira RM189,000.

Menurutnya, melalui risikan pihaknya turut mendapati terdapat sindiket-sindiket judi menggunakan nama pihak atasan PDRM bagi menarik lebih ramai pelanggan untuk berjudi.

"Saya hendak beritahu di sini, PDRM tidak pernah memberi kebenaran untuk mana-mana premis judi dalam talian ini beroperasi, sindiket perjudian ini berbuat demikian bagi menarik pelanggan berjudi dan memberikan rasa selamat kepada pelanggan mereka ketika berjudi.

"Malah untuk Tahun Baharu Cina ini juga kita ada terima maklumat terdapat penganjur yang menggunakan nama ketua polis balai dan ketua polis daerah mengatakan mereka diberi lampu hijau untuk menganjurkan aktiviti," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Katanya, usaha untuk membasmi perjudian dalam talian adalah sukar berikutan terdapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

"Laman web untuk judi dalam talian ini dibuat di luar negara dan PDRM mempunyai kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat laman web ini tetapi laman web yang baharu pula akan muncul," katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan siasatan kes gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal, Abd Jalil berkata kertas siasatan kini sedang diperingkat akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Abd Jalil berkata kertas siasatan bagi kes tersebut sebelum ini telah diserahkan kepada pejabat berkenaan bagaimanapun dikembalikan semula.

"Kertas itu kini dalam peringkat akhir siasatan dan pihak polis akan melengkapkannya seberapa segera untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya. - BERNAMA