SIDANG MEDIA: Hishammuddin semasa mengadakan sidang media.

TAWAU: Kementerian Pertahanan Malaysia mewujudkan kerjasama rapat dengan negara jiran Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu, Sulawesi serta Pantai Timur Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkataPerjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara ketiga-tiga negara perlu dirancakkan dan diperkasakan semula.

“Saya sudah suarakan hasrat kepada rakan sejawat di kedua-dua negara berkenaan untuk mengadakan perbincangan mengenai mengukuhkan TCA melibatkan kerjasama angkatan tentera negara.

“Sehubungan itu, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya,”katanya dalam sidang media selepas melawat Kem Kukusan di sini hari ini.

Katanya, hasrat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu juga turut disuarakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam pertemuannya kelmarin.

“Saya akan bawa hasrat beliau itu semasa pertemuan dan perbincangan TCA bersama Menteri Pertahanan Indonesia dan Filipina akan datang.

“Kerjasama itu adalah antara inisiatif terbaharu yang dilakukan oleh Kementerian Pertahanan dalam memperkasakan lagi usaha keselamatan di Sabah,” katanya.

Selain itu katanya, Kementerian Pertahanan juga telah membina kem baharu Tentera Darat di Felda Sahabat, Lahad Datu membabitkan peruntukan lebih RM646 juta yang akan dimulakan pada tahun ini.

“Pembangunan itu akan memindahkan satu batalion infantri serta unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman semasa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang tahun lalu operasi keselamatan di Pantai Timur Sabah berjalan lancar serta berupaya menangani ancaman termasuklah penculikan untuk wang tebusan (KFR), rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan pengganas.

“Secara asasnya operasi keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terbahagi kepada lima.

“Antaranya Operasi Gasak, Bersepadu, Benteng atau Op Cegah PTI,  Road Check Point dan Penguatkuasaan Zon Perintah Berkurung.

“Operasi tahun lalu pasukan keselamatan berjayamerampas dadah bernilai RM3.34 juta, rokok seludup dan barangan terkawal, tangkapan 154 pendatang haram bersama 393 bot, termasuk tiada rekod penculikan baharu di pantai timur Sabah,” katanya.

Katanya,terdapat lapan batalion menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah ketika ini di mana empat batalion beroperasi dan empat batalion berpangkalan yang siap sedia untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman.

“Ketika ini terdapat lebih 8,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkeupayaan melaksanakan penugasan pada setiap masa di negeri ini.

“Bagaimanapun, tiada istilah selesa serta berpuas hati kerana banyak lagi perlu dilaksanakan demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah,” katanya.