HARIS

PENAMPANG: Selepas kira-kira 10 hari melarikan diri, suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes tikam sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di pusat hiburan di Penampang Baru pada 4 Januari lalu akhirnya ditahan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek dikenalpasti sebagai Kaw Yung Chee, 35 ditahan di sebuah hotel di Limbang, Sarawak kira-kira jam 11 malam Khamis lalu.

“Bertindak dengan maklumat risikan, suspek berjaya ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melalui kerjasama disalurkan pasukan IPD Limbang.

“Suspek akan dibawa pulang ke sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu mangsa, Jusmani Duragan, 29, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dengan kesan tikaman objek tajam semasa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Polis turut menahan seorang lagi rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kes ini.