Lima nelayan yang berada di bot berkenaan ditahan APMM.

MIRI: Gara-gara menceroboh di kawasan taman laut, sebuah bot nelayan tempatan bersama lima nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jarak lebih kurang 10.8 batu nautika dari barat daya Tanjung Lobang di sini petang pada Khamis. 

Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan oleh aset APMM KM Stapa sekitar jam 3 petang ketika melaksanakan Op Permai di perairan Miri. 

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan yang dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan bersama empat lelaki kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 26 hingga 62 tahun tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap. 

"Kesemua kru termasuk tekong ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan taman laut dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di Taman Negara Terumbu Karang Sibuti, Miri di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. 

Bot nelayan tempatan yang dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan taman laut.

Eizanizam berkata bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 500 kilogram ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk siasatan lanjut. 

"Kes ini akan disiasat di bawah Ordinan Taman Laut dan Rizab Semula Jadi 1998 dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata APMM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di perairan negara bagi menjamin kelestarian komuniti maritim setempat. 

Sementara itu, sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.