KUCHING: Sarawak merekodkan 13 kes baharu COVID-19 hari ini dengan kesemuanya adalah kategori satu dan dua.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan hari ini berkata, dengan 13 kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 252,581 kes.

Katanya, daripada 13 kes baharu itu, 10 daripada kes adalah kategori 1 (tiada gejala) manakala tiga kes adalah kategori dua (gejala ringan).

"Bagi pecahan kes COVID-19 baharu mengikut daerah, Miri dan Sibu merekodkan kes harian tertinggi iaitu masing-masing 4 kes.

"Manakala 2 kes direkodkan di Bintulu dan masing-masing 1 kes direkodkan di Limbang, Meradong dan Beluru," katanya.

JPBNS turut memaklumkan tiada kes kematian dan tiada kluster baharu direkodkan di Sarawak hari ini.

Sementara itu, kata jawatankuasa tersebut, polis Sarawak telah mengeluarkan empat notis kompaun kesemuanya di daerah Kuching.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan polis sehingga kini adalah 12,904 notis kompaun.

"Antara kesalahan termasuk gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis (2).

"Sementara kesalahan tidak memakai pelitup muka (2)," kata JPBNS.