KUALA LUMPUR: Skuad karate kebangsaan mungkin mendapat sentuhan bekas ketua jurulatih Datuk P. Arivalagan apabila Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) berhasrat untuk menstruktur semula pasukan negara selepas memperoleh keputusan kurang memberangsangkan dalam kejohanan baru-baru ini.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat selama sedekad antara kedua-dua pihak dan isu dalaman lain yang telah diselesaikan baru-baru ini, Makaf berkemungkinan memerlukan khidmat Arivalagan semula, tetapi mungkin atas peranan berbeza sementara menunggu kelulusan daripada mesyuarat Exco.

Timbalan Presiden Makaf Datuk Vincent Chen memberi bayangan bahawa penglibatan Arivalagan itu antara rombakan besar persekutuan, yang dijangka dimuktamadkan sebelum 24 Januari dan menggugurkan beberapa atlet dan jurulatih.

“Kami sedang berbincang dengan Arivalagan untuk mendapatkan pandangannya, beliau mengemukakan beberapa perkara sahih. Beliau akan memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula ini tetapi saya tidak boleh mendedahkannya sekarang. Semua isu dalam Makaf telah diselesaikan, jadi bab konflik telah ditutup dan kami melihat cahaya di hujung terowong.

“Penstrukturan semula bukan hanya melibatkan skuad kumite (sparring), ia juga membabitkan pasukan kata (pattern). Kami telah memberi mereka (jurulatih) lebih daripada dua tahun untuk membangunkan skuad sejak khidmat jurulatih dari Latvia Andris Vasiljevs ditamatkan, tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

“Makaf mendapat kemajuan pantas selepas penstrukturan semula utama pada 2013 hingga Sukan Asia 2018, ketika kejatuhan bermula. Kita sekarang di bawah, tidak boleh berada di bawah lagi, hanya perlu pulih,” katanya kepada Bernama.

Arivalagan merupakan ketua jurulatih pasukan karate negara dari 2004 hingga 2011, bagaimanapun Makaf tidak memperbaharui kontraknya. Juara tujuh kali Sukan SEA itu berkhidmat sebagai jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Vincent berkata Makaf tidak akan kembali mendapatkan jurulatih asing buat masa ini, tetapi menetapkan untuk menggunakan khidmat jurulatih tempatan.

Mengulas mengenai cabaran kewangan selepas pemotongan peruntukan untuk sukan baru-baru ini, beliau berkata Makaf antara lain akan mendapatkan dana kecil daripada pelbagai pihak, penajaan untuk atlet individu dan mungkin akan mendapatkan pendanaan awam. - BERNAMA