Gambar fail.

KUCHING: Langkah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menubuhkan sayap baharu khas untuk individu berusia 18 hingga 28 tahun menjadi petanda baik dalam usaha berterusan parti memberi peluang kepada anak muda menjadi matang dalam membuat keputusan menentukan masa depan negeri.

Naib Presiden PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah berkenaan tepat pada masanya kerana ia bagi memastikan generasi ahli politik dan pemimpin masa depan mengikuti perkembangan politik terkini di Sarawak dan negara.

"Maka itu, PBB sedang melakukan langkah-langkah yang perlu sekarang untuk kekal relevan di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk ahli daripada kumpulan umur yang berbeza.

"Ia adalah satu lagi strategi yang baik untuk mendekati kumpulan pengundi baru terutamanya golongan muda yang harus mencapai kematangan politik.

"Ini menjadikan kita dalam PBB lebih relevan dalam iklim politik sekarang di mana perkembangan terkini adalah kepentingan rakyat," katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, malahan pindaan Perlembagaan Undi18 telah menggambarkan bahawa penyertaan golongan muda dalam kancah politik tempatan amat dialukan.

Kata beliau pelaksanaanya menyokong agenda dan pembangunan bakat kepimpinan dalam PBB.

Namun ujar beliau sudah tentu PBB di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah merancang penubuhan sayap baharu itu sebagai langkah ke hadapan dalam menangani keperluan dan kebimbangan golongan muda dalam lingkungan umur 18 hingga 28 tahun.
 
"Prestasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) baru-baru ini dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 adalah meyakinkan dan sudah tentu penubuhan sayap baharu itu mungkin menyokong hasil positif Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang yang akan diadakan pada 2023 atau lebih awal," katanya.

Pada Isnin, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meminda perlembagaan parti itu bagi mewujudkan sayap baru buat golongan belia berumur antara 18 hingga 28 tahun.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan terbabit bersama-sama berkhidmat kepada kesejahteraan negeri.

“Buat masa ini PBB ada sayap wanita serta pemuda… sekarang ini kita akan wujudkan satu sayap buat golongan belia 18 hingga 28 tahun.

"Kami wujudkan sayap ini kerana kita mahu mereka sama-sama menguruskan masyarakat bersama kita. PBB adalah parti yang dinamik.

"Kami juga mendengar aspirasi golongan muda dan kita akan sesuaikan kepada keadaan politik semasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB.