Maria pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

KUCHING: Sebanyak RM73.5 juta kerugian direkodkan membabitkan mangsa-mangsa jenayah komersial di seluruh Sarawak pada tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Maria Rasid berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM66.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 10.56 peratus.

Menurutnya, sebanyak 2,816 kes jenayah komersial dicatatkan dalam tempoh tersebut, yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak 1,354 kes berbanding tahun 2020.

“Kerugian jenayah komersial bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 adalah sebanyak RM73.5 juta, manakala bagi tempoh sama tahun 2020 adalah sebanyak RM66.5 juta.

“Antara kes-kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai di negeri ini adalah kes pembelian internet iaitu sebanyak 667 kes dengan kerugian RM3 juta dan tipu pinjaman wang tidak wujud,441 kes dengan kerugian RM3.9 juta.

“Manakala kes Macau Scam pula merekodkan 173 kes dengan kerugian RM8.6 juta, diikuti kes menyamar sebanyak 168 kes dengan kerugian RM2.2 juta dan kes melibatkan pelaburan iaitu sebanyak 155 kes membabitkan kerugian RM8.9 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Sungguhpun begitu, JSJK Sarawak berjaya membuat 688 tangkapan pada tahun lepas.

“Antara kejayaan adalah tangkapan lima ahli sindiket tipu jual beli kenderaan atas talian iaitu ‘Geng Abang Salleh’, tangkapan 19 suspek di bawah Op Vulture iaitu kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen. 

“Selain itu, seramai 619 suspek telah dituduh di mahkamah pada tahun lepas dan ia termasuk beberapa kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Maria selain itu menasihatkan orang ramai untuk melaporkan atau menyalur maklumat berhubung jenayah komersial melalui CCID Infoline di talian 013-2111222 atau CCID SCAM Response Centre 03-26101559.

“Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon atau akaun bank suspek melalui CHECK SCAMMER CCID atau laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” ujarnya.