Dr Annuar meninjau lokasi banjir dan membantu penyelarasan bantuan kepada semua mangsa banjir.

SIBU: Empat puluh empat mangsa banjir dari lima keluarga diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Jeriah di sini apabila rumah mereka dinaiki air, hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Negeri Sarawak berkata PPS berkenaan dibuka pada pukul 3.14 petang.

“Semua keperluan PPS tengah diuruskan,” kata jurucakap APMM Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, tiga keluarga di Kampung Seduan Jaya yang sebelum ini enggan berpindah, telah bersetuju berbuat demikan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Janggan Muling berkata mereka yang pada mulanya enggan berpindah kemudiannya akur setelah dinasihati Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS).

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.44 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah ke lokasi. 

Jurucakap Bomba berkata, penduduk mendakwa air banjir masuk ke dalam rumah rumah secara mendadak selain turut menenggelamkan sebahagian jalan raya pada anggaran ketinggian dua kaki setengah.

Manakala, tiga unit kediaman terbabit dimasuki air sedalam satu kaki.

Sementara itu, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee turut melakukan tinjauan dilokasi selain membantu penyelarasan bantuan kepada semua mangsa banjir. 

"Seramai 24 orang dari tiga keluarga yang terjejas kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Jeriah. Ketika tinjauan petang tadi, seorang wanita berusia 20-an mengadu sakit dada dan sesak nafas.

"Mujur pihak Bomba ada di lokasi bersama ambulans EMRS dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi halaman Facebook miliknya.

Dr Annuar berkata, beliau menasihatkan penduduk terjejas banjir supaya akur untuk berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu sebarang kecemasan berlaku ketika anda berada di rumah, ia akan sangat menyukarkan usaha menyelamat seperti yang berlaku petang ini," katanya.